Kawalan Minda yang Lemah Punca Kemurungan


Oleh Aini Hidayah Abdul Hadi
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 12 Mac 2020 – Kawalan minda atau mindset yang lemah sangat berperanan dalam menghadapi kemurungan kerana ia mengawal perilaku dan cara seseorang berfikir, kata Pensyarah Fakultas Psikologi, Universitas Islam Negeri (UIN) Syarif Hidaytullah Jakarta, Prof Dr Abdul Mujib.

Katanya, Islam lebih membahas masalah bagaimana seseorang mampu melaksanakan kewajipan berdasarkan kemampuan dan kelayakan yang dimiliki kerana masalah kemurungan remaja dapat diselesaikan menurut teori psikologi kontemporari, walaupun tidak ada salahnya jika psikologi Islam berusaha menjelaskan dan memberi penyelesaian secara umum.

“Antara ciri-ciri seseorang itu mengalami kekecewaan ialah mempunyai perasaan tidak senang, mudah sedih, kecewa, tidak bersemangat, tidak berkonsistensi, ketidakmampuan bekerja, belajar, dan makan, kesukaran untuk tidur dan kerap lupa,” kata beliau dalam perkongsiannya sewaktu menyampaikan Wacana Hadhari bertajuk Pendekatan Psikologi Islam dalam Menangani Masalah Kemurungan Remaja di Bilik Senat, Bangunan Pentadbiran, UKM baru-baru ini.

Beliau juga menasihati kakitangan dan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menghadiri wacana tersebut untuk sentiasa mengamalkan sikap memberi  dan penyanyang kepada orang berbanding menjadi seorang yang menadah dan menerima pemberian kerana Allah sentiasa akan memberi yang terbaik.

Sementara itu, Pengarah Institut Islam Hadhari UKM, Prof Dr Fariza Md Sham dalam ucapan alu-aluannya, menjelaskan bahawa isu kemurungan sedang melanda masyarakat dunia dan kebanyakan pakar psikolgi juga menjangkakan pada tahun 2020, ramai rakyat Malaysia akan mengalami  masalah kesihatan mental.

“Kemurungan bukan berlaku akibat dari faktor akademik, tekanan persekitaran dan ekonomi, malah ia juga gangguan dari segi kejiwaan dan stress yang melampau,” kata beliau.

Prof Dr Fariza turut memetik dalam kitab Makaarim al-Akhlaq, Abu Bakr bin Laal yang meriwayatkan hadis dari Anas bin Malik R.A. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda “Setiap mukmin dihadapkan pada lima ujian; mukmin yang menghasudnya, munafik yang membencinya, kafir yang memeranginya, nafsu yang menentangnya, dan syaitan yang menyesatkan.” (HR ad-Dailami).

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, kesihatan mental merupakan masalah kesihatan yang  utama di Malaysia terutamanya berkaitan isu kemurungan yang meningkat dari 12 peratus pada tahun 2011 kepada 29 peratus pada tahun 2020.