Kemiskinan Bukan Halangan Kejayaan Akademik

03
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abd Raai Osman, Ikhwan Hashim, Shahiddan Saidi, Izwan Azman

BANGI, 1 November 2015 – Anak buruh kasar dari Tawau, Sabah, Noviatin Syarifuddin yang merupakan graduan dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membuktikan bahawa kesusahan hidup bukan penghalang untuk melakar kejayaan.

Noviatin telah menerima anugerahkan Pelajaran Di Raja kerana beliau  seorang pelajar yang serba cemerlang di FSSK, pada majlis konvokesyen ke-43 UKM.

Beliau yang merupakan anak sulung daripada lapan orang adik beradik adalah seorang pelajar yang komited dalam pelajaran dan sentiasa menyertai aktiviti kokurikulum sama ada di peringkat universiti mahupun kebangsaan.

“Saya sentiasa meletakkan dalam diri bahawa ilmu adalah segala-galanya. Saya tak perlu ‘lawan’ orang lain untuk jadi hebat kerana hanya dengan pendidikan sahaja yang akan membuatkan saya hebat,” katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah tersebut di sini, semalam.

Beliau berkata berada jauh beribu batu dari keluarga tidak membuatkan beliau leka dengan keseronokan kota, malahan setiap kesusahan yang dilalui oleh keluarganya sentiasa membuatkan beliau bertekad untuk berjaya.

“Saya bukannya seorang yang suka pergi ke perpustakaan untuk belajar tetapi saya lebih suka belajar secara berkumpulan kerana saya dapat berkongsi idea dan ilmu dengan kawan-kawan,” kata beliau.

Apabila ditanyakan tentang resipi kejayaan, beliau berkata memberi fokus semasa pensyarah mengajar di dalam kelas adalah tip yang sangat berkesan untuk mencapai kejayaan.

“Saya sentiasa membuat persediaan sebelum kelas bermula dan akan memberi respon kepada pensyarah ketika sesi pengajaran dan pembelajaran. Jadi saya akan lebih bersedia ketika di dalam kelas.

“Untuk berjaya bukannya susah. Niatkan apa yang dilakukan itu adalah satu ibadah. InsyaAllah, Allah akan tolong kita,” katanya.

Menceritakan tentang latar belakang kehidupan, Noviatan meletakkan dirinya sebagai contoh kepada adik-adiknya.

“Saya datang dari keluarga yang susah. Ayah hanya melakukan kerja-kerja kampung manakala ibu pula berniaga makanan di tepi jalan. Jadi, hanya dengan ilmu yang dapat mengubah nasib keluarga saya.

“Saya sentiasa memberi nasihat dan kata-kata semangat kepada adik-adik supaya meletakkan pendidikan di tempat yang atas supaya mereka tidak leka dengan kehidupan seharian,” katanya yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Falsafah dalam bidang Sosiologi di UKM.

Bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah suatu hari nanti, Noviatin sudah merancang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah di luar negara apabila tamat pengajian Sarjana kelak.

Beliau yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Antropologi Sosiologi dengan Purata Nilai Gred Komulatif (PNGK) 3.74 merupakan seorang pelajar yang aktif dalam aktiviki fakulti dan kolej.

Beliau turut menerima pelbagai anugerah dalam penglibatan kokurikulum dan turut menerima Anugerah Dekan pada setiap semester pengajiannya.ukmnewsportal-bm
04