Kerjasama antara GloBDE dan Pro B Tingkatkan Kebolehpasaran Siswazah Perakaunan


Oleh Inaara Aznan
Gambar oleh Ikhwan Hashim

BANGI, 18 Januari 2019 – Kerjasama melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Pusat Perniagaan Global dan Ekonomi Digital (GloBDE), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Pro B Centre Sdn Bhd (Pro B) adalah sebagai inisiatif untuk meningkatkan kebolehpasaran siswazah perakaunan dan membina bakat untuk Industri Perkhidmatan Perniagaan Global.

Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah berkata, MoA itu adalah untuk menyediakan latihan dan sesi pembangunan profesional untuk pelajar dan ahli akademik UKM oleh Pro B untuk penyediaan laporan Sistem Pelaporan Perniagaan Malaysia (MBRS).

“Adalah menjadi harapan kami agar GlobDE akan kukuh untuk bagi memastikan pusat itu (GloBDE) berkembang sebagai pusat penyelidikan dan latihan utama di Malaysia, Asia dan seterusnya,” katanya semasa menyampaikan ucapannya di Majlis Menandatangani MoA di Atrium, FEP baru-baru ini.

Beliau berkata, fungsi GloBDE adalah mengadakan forum perkongsian, perbincangan awam dalam menyatukan disiplin yang berbeza di seluruh universiti dan menjangkau komuniti perniagaan yang merentas sektor GloBDE.

Sementara itu, Rakan Kongsi Cheng & Co Group, Prof Dato’ Dr Chua Hock Hoo berkata, Pro B adalah sebahagian daripada syarikat Cheng & Co Group telah menyediakan pelanggan dengan perkhidmatan perniagaan seperti kajian semula cukai, simpanan kira-kira, perakaunan, gaji, dan perkhidmatan IT sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Pro B ditubuhkan untuk menawarkan penyelesaian untuk perniaga yang berminat meneroka langkah inovatif dalam memastikan masa depan organisasi.

“Kami mempunyai visi iaitu pada tahun 2020, kami akan melebarkan ke 100 lokasi lain dengan lebih daripada 100 rakan kongsi,” katanya.

Pada majlis yang sama, Prof Dato’ Dr Imran Ho dan Prof Dato’ Dr Chua Hock Hoo juga melancarkan Pusat Latihan Akauntan Maya (VirAcc) di fakulti tersebut.

VirAcc menawarkan pengalaman kerja sebenar kepada pelajar dan mereka juga boleh belajar dan bekerja jika mempunyai masa lapang.

VirAcc dapat membantu meningkatkan kebolehpasaran pelajar dan menyediakan pelajar dengan pengalaman kerja serta pendedahan kepada industri sebelum tamat pengajian.