Kerjasama UKM dan PERKIM Bantu Martabat Wanita Mualaf


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 23 Mac 2020 – Kerjasama yang dilakukan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) yang diadakan baru-baru ini akan dapat membantu memartabatkan wanita mualaf di Malaysia.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohamad berkata melalui MoA itu, UKM melalui Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam bersama Wanita PERKIM Kebangsaan akan menjalankan projek penyelidikan “Pelan Pembangunan Wanita Mualaf Malaysia” yang mempunyai enam teras strategik utama iaitu teras hal-ehwal agama, teras sosiobudaya, teras ekonomi dan kewangan, teras syariah dan perundangan, teras kaunseling, psikologi dan keluarga serta teras pendidikan.

“Kenam-enam teras strategik ini adalah berkaitan dengan luahan perasaan dan pengalaman wanita Mualaf PERKIM yang perlu diberi perhatian dan diambil tindakan segera.

“Pelan Pembangunan Wanita Mualaf Malaysia ini akan berfungsi sebagai mekanisme rujukan bagi memartabatkan wanita Mualaf PERKIM, wanita Mualaf di tempat lain dan one stops centre-dakwah,” katanya.

Beliau berkata sebagai wanita Mualaf, mereka terpaksa menghadapi pelbagai bentuk cabaran.

“Lazimnya, cabaran ini mengakibatkan wanita Mualaf mendapat pelbagai tekanan hingga menggugat kepercayaan mereka kepada Allah SWT dan kembali kepada agama asal mereka atau murtad.

“Segalanya berlaku disebabkan mereka ditinggalkan suami, bercerai, hilang tempat bergantung, tiada tempat tinggal, tiada sumber kewangan, mengalami masalah penjagaan anak selepas bercerai, tiada sijil pendaftaran nikah dan pelbagai lagi,” katanya.

Katanya, beliau berharap agar MoA ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa, bermula dengan penyelidikan, menghasilkan kertas dasar, menghasilkan modul dan akhirnya menghasilkan juru latih-juru latih PERKIM yang berperanan menjaga kebajikan wanita Mualaf, dan Mualaf seluruhnya.

Untuk MoA tersebut, UKM diwakili Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab manakala PERKIM diwakili oleh Ketua Wanita PERKIM, YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajjah Noor Hayati Binti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.