Kerjasama UKM-MAI Kaji Ekosistem Industri Automotif Malaysia


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

RAWANG, 23 Mac 2018 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) menjalin kerjasama strategik dalam bidang ekonomi dengan Institut Automotif Malaysia (MAI) bagi mengkaji keseluruhan ekosistem industri automotif di Malaysia.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, kajian yang dibuat adalah menjurus kepada Analisis Manfaat Kos (CBA) dengan mengambil kira faktor-faktor penting seperti pengurangan pelepasan karbon dan penjimatan kadar bahan bakar.

Hasil kajian itu akan dijadikan polisi kepada kerajaan dalam pertimbangan pemberian insentif kepada pihak-pihak berkaitan.

“Kerjasama ini adalah melalui Memorandum Perjanjian (MoA) dan Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dan MAI. Dalam konteks ini, UKM adalah sebagai sebuah institusi awam yang bekerjasama di bawah universiti industri,” katanya selepas Majlis Perasmian National Emission Test Centre (NETC), di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap, MoA dan MoU itu akan dapat menambah baik perkhidmatan NETC melalui CBA.

“Kita juga berharap apa yang kita lakukan di sini (NECT) akan memberikan kebaikan bukan hanya kepada 28 pembekal komponen tulen (OEM), tetapi juga kepada negara,” katanya.

Antara kandungan MoA dan MoU tersebut ialah pertukaran dan perkongsian maklumat berkaitan pembangunan pengajaran, pembangunan pelajar, inovasi penyelidikan dan pengkomersialan dalam industri automotif.

Kerjasama itu dibuat selaras dengan penubuhan NETC, yang merupakan pusat pengujian untuk mengukur kandungan pelepasan karbon daripada kenderaan.

Penubuhan pusat itu secara tidak langsung dapat mengurangkan kos pengujian yang ditanggung oleh pengeluar kenderaan yang selama ini terpaksa menguji kenderaan di luar negara.