Kerjasama UKM-NADMA Cambah Ilmu Hadapi Bencana


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

KUALA LUMPUR, 25 Oktober 2019 – Kerjasama yang terjalin antara Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) melalui Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sejak sekian lama telah dikukuhkan dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua institusi bagi meningkatkan percambahan ilmu dalam menghadapi bencana.

Melalui kerjasama itu, SEADPRI akan memberi nasihat kepada NADMA terutamanya dalam input teknikal bagi semakan semula Arahan 20 MKN (Majlis Keselamatan Negara), iaitu sebuah garis panduan pengurusan bencana di Malaysia.

Semua agensi bencana di Malaysia akan menggunakan garis panduan tersebut apabila berlakunya bencana.

Sebagai agensi peneraju pengurusan bencana di Malaysia, NADMA berperanan untuk merangka dasar pengurusan bencana negara serta mengawal selia pelaksanaan dasar pengurusan bencana negara.

Inisiatif tersebut telah disokong oleh SEADPRI-UKM yang menjalankan penyelidikan berkaitan bencana secara holistik di peringkat tempatan, kebangsaan dan serantau, dan seterusnya membekalkan maklumat sainstifik kepada NADMA.

Kerjasama antara SEADPRI-UKM dan NADMA telah menyumbang kepada penggubalan Deklarasi Melaka bagi Pengurangan Risiko Bencana. SEADPRI-UKM juga telah memberi sokongan teknikal untuk penubuhan Platform Kebangsaan dan Pelan Tindakan Pengurangan Risiko Bencana Malaysia (myDRR). Kedua-dua inisiatif tersebut merupakan respon negara di bawah Hyogo Framework for Action (2005-2015).

Sejarah kerjasama kedua-dua institusi itu adalah pendorong kepada pemeteraian MoU, yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi kerjasama yang telah terjalin melalui pelbagai bentuk penglibatan jaringan dan jangkauan, termasuk penyertaan UKM sebagai ahli deligasi negara yang diketuai oleh NADMA dalam forum antarabangsa di peringkat Pertubuhan BAngsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Usaha itu diharap dapat menyokong usaha kerajaan dalam merancang dan merialisasikan pengurangan risiko bencana di peringkat negara dan ASEAN melalui penyelidikan, pembangunan modal insan dan inovasi.