Kolej Burhanuddin Helmi Bantu Calon SPM SMK Desa Cempaka

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 1 Ogos 2016 – Kolej Burhanuddin Helmi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan komitmen terhadap memajukan tahap pencapaian pelajar sekolah dengan mengambil inisiatif untuk mengajurkan Seminar Fokus SPM dan Kem Bina Insan 2016 melalui Program Jalinan Pintar bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Cempaka, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Program itu telah menghimpunkan seramai 197 pelajar tingkatan lima sekolah tersebut bagi membantu mereka meningkatkan prestasi empat mata pelajaran teras.

Ketua Pengarah Program Jalinan Pintar, Nurul Annisa Abdul Wahab berkata program tiga hari tersebut memfokuskan kepada teknik menjawab soalan dan motivasi diri.

“Kami cuba membantu pelajar-pelajar sekolah ini supaya sasaran 100 peratus lulus dalam matapelajaran teras – Bahasa Melayu, Bahsa Inggeris, Sejarah dan Matematik – selaras dengan matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara,” katanya selepas majlis perasmian penutup program itu di sini.

Beliau memberitahu bahawa sebelum memilih SMK Desa Cempaka untuk program tersebut, pihaknya telah membuat kajian tentang masalah dan cabaran yang dihadapi oleh pelajar sekolah tersebut.

“Apabila kita mendapat maklum balas, baru kita buat program ini,” katanya yang memberitahu bahawa program itu akan diadakan sepanjang tiga tahun bagi melihat prestasi akademik sekolah tersebut.

Sementara itu, seorang pelajar, Intan Suraya Mhd Khir berkata aktiviti yang dijalankan ini sangat menarik dan dapat membantu beliau dalam meningkatkan prestasi akademik.

“Persekitaran kampus yang menarik telah membuat saya lebih bersemangat untuk belajar dan melanjutkan pelajaran ke Menara gading,” katanya.

Muhammad Atiq Md Hafiz pula berkata walaupun program ini terlalu singkat, tetapi input yang diberikan sangat berharga.

“Saya akan menggunakan teknik-teknik menjawab soalan yang telah diberikan oleh fasilitator UKM dalam menjawab soalan peperiksaan nanti,” katanya.

Perasmian penutup program tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dato’ Noor Aziah mohd Awal.

Turut hadir adalah Pengetua SMK Desa Cempaka, Rihana Hashim dan Pengetua Kolej Burhanuddin Helmi, Dr Muhammad Rahimi Yusop.ukmnewsportal-bm
2

4

3