Konvensyen Kampus Lestari 2019 Pupuk Amalan Kelestarian


Oleh Muhammad Fikri Abdullah
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 24 April 2019- Usaha Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam memupuk dan mengukuhkan kesedaran memelihara dan memulihara alam sekitar secara lestari dapat ditingkatkan melalui Konvensyen Kampus Lestari 2019 (KKL 2019) yang diadakan di UNiversiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

KKL 2019 adalah platform perkongsian idea golongan profesional, wakil-wakil Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), sekolah serta pakar-pakar bidang pengurusan alam sekitar dalam memberi input berkenaan kaedah yang bersesuaian dalam mempraktikkan amalan kelestarian.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Ir Dato’ Dr Othman A. Karim berkata, program tersebut membuka ruang dalam perkongsian idea dan inisiatif terbaik kelestarian sebagai pemacu kepada pelaksanaan gerak kerja dalam memulihara alam sekitar.

“Usaha ini dapat memberikan panduan yang jelas dan dapat dikembangkan dengan lebih baik dalam usaha kita melestarikan alam sekitar.

“Selain itu, ia adalah untuk mendidik warga kampus dalam membudayakan amalan kelestarian di kampus dalam pelbagai aspek kehidupan,” katanya.

Beliau yang juga Profesor di Pusat Penyelidikan Bandar Pintar dan Lestari (SUTRA), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), berkata, cabaran pelaksanaan kampus lestari terbahagi kepada empat perkara iaitu melibatkan kurikulum, libat sama komuniti, operasi ekologi kampus dan penyelidikan kelestarian persekitaran.

“Dengan persekitaran yang kondusif serta penggunaan sumber yang lestari akan dapat menjamin kehidupan yang lebih sejahtera,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM, Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar berkata, objektif program itu bukanlah hanya tertumpu kepada persekitaran IPT sahaja malah ia dikembangkan lagi sebagai sebuah persekitaran di mana-mana sahaja seperti persekitaran sekolah dan komuniti.

“Apa yang penting adalah kesedaran dan pembudayaan amalan kelestarian itu sendiri dalam menjamin kelestarian alam sekitar,” katanya.

Antara pengisian utama KKL 2019 adalah pembentangan kertas kerja kaedah memelihara dan memulihara alam sekitar serta pameran daripada pelbagai pihak yang berlangsung selama tiga hari bermula 23 April.