LESTARI dan WWF Teruskan Kerjasama Tingkat Pendidikan Pembangunan Lestari


Oleh Siti Lailatul Mastura
Foto Izwan Azman

BANGI, 23 Oktober 2019 – World Wide Fun and Nature (WWF) meneruskan kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Institusi Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) bagi meningkatkan pembangunan pendidikan kelestarian.

Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato’ Ir Dr Abdul Wahab Mohammad berkata, kerjasama kali ini diteruskan melalui penyediaan kemudahan dan perkongsian pengetahuan serta penyelidikan geran dalam pemuliharaan alam sekitar.

“Dalam kolaborasi ini, WWF akan menyediakan kemudahan, peluang kemajuan kerjaya serta inisiatif sukarela dalam pemuliharaan alam sekitar melalui program 2U2I iaitu dua tahun di UKM dan dua tahun bersama industri,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UKM dengan WWF di Kelab Rekreasi Universiti (KRU) baru-baru ini.

Katanya, kerjasama itu juga menyediakan kerangka praktikal untuk membantu menjadikan kelestarian sebahagian daripada kehidupan kampus bagi melengkapkan program Lestari di UKM.

MoU tersebut dapat memberi peluang kepada kedua-dua pihak (UKM dan WWF) menyertai program sangkutan ilmu bagi bertukar kepakaran tentang teknologi baharu dalam membantu pemuliharaan tanah serta menjalankan penyelidikan bersama.

Pada majlis itu juga, turut diadakan pelancaran National Education for Sustainable Development Work Group (NESDWG) dan pelancaran buku “Nurturing The Seeds of Sustainable Development”.

Prof Dato’ Ir Dr Abdul Wahab berkata, beliau gembira LESTARI menjadi sebahagian daripada National ESD Work Group kerana ia melengkapkan matlamat Institusi ke arah menjadi pemimpin dalam pembangunan kelestarian.

“Antara misi National ESD Work Group ialah untuk menyelidik, mengesyorkan, melaksanakan, menyokong dan memperkasakan penerapan pendidikan untuk pembangunan lestari kepada semua peringkat pendidikan formal dan bukan formal,” katanya.

Misi itu juga turut menyediakan perundingan dan cadangan kepada institusi-institusi peringkat negara, serantau dan antarabangsa.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah LESTARI, Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar dan Pengarah Eksekutif WWF, Doris Lim.