Mahasiswa UKM Menang Pingat Emas di IIDEX 2016

1
Oleh Tengku Nursharina Tengku Amri
Foto Fakulti Sains dan Teknologi

SHAH ALAM, 29 Oktober 2016 – Pelajar Ijazah Sarjana Sains Kimia, Fakulti Sains dan Teknologi, UKM, Zetty Syafiqa Othman telah memenangi pingat emas di Invention Innovation Design Exposition (IIDEX) 2016 melalui hasil penyelidikannya iaitu Optimization of bio-active (rotenone) extraction using green solvents (ionic liquid and alcohol based deep eutectic solvents).

Penyelidikan tersebut menekankan pengekstrakan bioaktif, rotenone iaitu bahan racun serangga dengan menggunakan alternatif hijau pelarut seperti cecair ionik, berasaskan alkohol [BMIM] OTF.

“Pelarut organik konvensional telah digunakan untuk pengekstrakan bioaktif, namun pelarut organik yang sedia ada kebanyakkannya tidak stabil serta mengandungi toksik dan mudah terbakar, kegunaannya membahayakan manusia dan alam sekitar.

“Saya memilih menggunakan cecair ionik dan pelarut eutektik semasa proses penyelidikan ini kerana bahannya lebih hijau, mempunyai kestabilan haba yang tinggi dan anti toksik,” katanya.

Menurut beliau, kajian penyelidikan itu menyediakan pendekatan hijau dan lebih selamat untuk pengekstrakan bioaktif dan meningkatkan potensi sistem pelarut sebagai pengeluaran makanan yang boleh dimakan dan pengeluaran yang lain tanpa apa-apa kesan berbahaya.

“Penggunaan sistem pelarut hijau dalam proses pengestrakkan rotenone bioaktif adalah pendekatan baru dalam mengembangkan penggunaan dan pemakaian cecair ionik dan pelarut eutektik dalam bidang pengekstrakan,” katanya.

Zetty Syafiqa berkata kajian penyelidikan itu mengambil masa kira-kira dua tahun di bawah penyeliaan Dr Saiful Irwan Zubairi dan dua pembantu penyelia iaitu Dr Nur Hasyareeda Hassan dan Dr Huda Abd Karim.

Katanya penyelidikan itu akan dilanjutkan dengan kajian fizikokimia eutektik yang berbeza dalam gabungan pelarut dan dijalankan untuk memperluas penggunaan dan aplikasi pelarut hijau terutamanya dalam pelbagai proses pengekstrakan bioaktif.

IIDEX 2016 telah diadakan di University Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, baru-baru ini.ukmnewsportal-bm

2