Malaysia Book of Records Iktiraf Kulit Gantian ‘MyDerm’ UKM

01
Oleh Asmahanim Amir

Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 29 Feb 2016 – Penghasilan kulit gantian iaitu MyDerm oleh penyelidik daripada Pusat Kejuruteraan Tisu (TEC), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) telah mendapat pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records (MBOR).

MyDerm adalah hasil inovasi kejuruteraan tisu oleh pasukan yang diketuai oleh Prof Dato’ Dr Ruszymah Idrus dan ia menjadi rawatan alternatif bagi pesakit luka kebakaran, trauma dan ulser diabetik.

Selaku pencipta utama MyDerm, Prof Dr Ruszymah telah menerima penganugerahan daripada MBOR di atas pengiktirafan MyDerm sebagai autologous tissue engineered human skin yang pertama di Malaysia, di sini pada 25 Feb.

MBOR turut memberi penganugerahan first manufacturer of autologous tissue engineered human skin kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cell Tissue Technology Sdn Bhd (CTT), Dr Khairul Idzwan Dato’ Baharin sebagai syarikat pertama yang menghasilkan gantian tisu autologous di Malaysia.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata MyDerm kini telah menghampiri peringkat akhir ujian klinikal dengan usaha sama beberapa pakar bedah dan ahli klinikal daripada Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, PPUKM.

“Kajian klinikal MyDerm yang bermula dari tahun 2013 telah menunjukkan pemulihan yang amat memuaskan kepada para pesakit terutamanya dalam merawat luka kebakaran, trauma dan ulser diabetik dan sekaligus telah memberi sinar baharu kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata bagi mengkomersialkan MyDerm, TEC bersama CTT yang merupakan anak syarikat terbitan UKM dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan usaha tersebut.

“Bagi menambahkan lagi keyakinan masyarakat terhadap produk terbitan R&D tempatan, CTT bersama rakan industri yang lain sedang dalam usaha untuk mendapatkan pensijilan halal daripada pihak JAKIM,” jelasnya.

Pada majlis itu, turut diadakan acara menandatangani surat hasrat antara TEC dengan CTT bagi memastikan kerjasama yang melibatkan program akademik, penyelidikan dan pembangunan modal insan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Dato’ Seri Dr Hilmi Yahaya berkata kejayaan pasukan penyelidik dari Pusat Kejuruteraan Tisu PPUKM menghasilkan MyDerm adalah sesuatu yang membanggakan dan merupakan sejarah baharu dalam teknologi perubatan negara kerana membolehkan pakar tempatan melakukan perubahan teknik rawatan.

“MyDerm merupakan satu-satunya produk asas pembiakan sel kulit daripada mangsa sendiri di Malaysia dan juga Asia Tenggara, sekaligus menjadi pelopor inovasi penting dalam sains hayat atau biologi,” katanya.

Katanya, beliau difahamkan bahawa terdapat beberapa lagi kajian yang sedang dijalankan oleh penyelidik-penyelidik TEC termasuklah kornea mata, saraf, tisu jantung dan tisu buah pinggang.

“Saya fikir jika mereka (penyelidik) meneruskan usaha-usaha ini (membuat kajian terhadap tisu buah pinggang), mungkin di masa hadapan tidak perlu lagi pesakit buah pinggang membuat transplant buah pinggang dan dialysis,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa dengan terhasilnya MyDerm, ia menunjukkan sistem kesihatan di Malaysia adalah berinovasi dan berkualiti tinggi.ukmnewsportal-bm
02

03

04