Malaysia Capai Kedudukan Ketiga Teratas Destinasi Operasi Luar

01.
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Pix Abd Ra’ai Osman

BANGI, 1 Feb 2016 – Malaysia berada di kedudukan ketiga teratas selepas India dan China, dalam senarai destinasi dunia untuk syarikat-syarikat  memindahkan operasi mereka kerana kos buruh yang rendah dan keadaan ekonomi yang menggalakkan.

Kedudukan Malaysia tidak berubah kerana kestabilan ekonomi dan politik, kata Michael Warren, Naib Presiden Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

“Kedudukan nombor 4 selepas Malaysia sentiasa berubah-ubah. Sebelum ini  Indonesia, sekarang Brazil. India adalah nombor satu, nombor dua China. Malaysia masih tidak berubah,” kata Warren dalam satu temu bual dengan Portal Berita UKM.

Bercakap pada waktu rehat Seminar Antarabangsa Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) dan Pelancaran Program GBS @UKM di sini pada 12 Jan lalu, beliau berkata sentimen kewangan dan ekonomi semasa tidak membawa kesan buruk.

“Ia tidak memberi kesan kepada kedudukan kita. Ada banyak syarikat yang datang ke Malaysia, ia sedang meningkat. Kita (Malaysia) adalah jauh lebih berdaya saing di segi kos. Pada masa lalu kita bersaing sengit dengan India, Filipina, Poland, dan Costa Rica. Tetapi sekarang kerana penurunan nilai mata wang kita, kita sekarang adalah lebih bersaing kos berbanding destinasi lain, ” jelas beliau.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa kemerosotan harga komoditi seperti petroleum telah memberikan tekanan kepada pasaran baru muncul.

“Merujuk kepada China, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia. Tahun lepas kita lakukan perdagangan US145 bilion dengan China sahaja.  Tetapi perniagaan China telah berkurangan, dan kerana perniagaan telah berkurangan, ia merupakan salah satu faktor yang telah menjejaskan mata wang kita.

“Malaysia juga dipengaruhi oleh harga komoditi. Jadi penurunan nilai mata wang Malaysia bergantung kepada harga komoditi dan penurunan dalam perdagangan dengan China,” jelasnya.

Beliau merujuk kepada laporan Global Services Location Index (GSLI) yang disediakan oleh firma perunding pengurusan global AT Kearney yang menunjukkan Malaysia masih destinasi luar pesisir yang digemari.

Beliau berkata Malaysia juga mengekalkan kedudukan teratas di kalangan negara anggota Asean yang bersaing hebat untuk perdagangan pesisir global.

Menurut GSLI, Indonesia berada pada kedudukan nombor lima, Thailand  merosot daripada keempat ke tempat ketujuh dan Filipina dari ketujuh jatuh kepada kesembilan.

Terdahulu, dalam ucaptamanya, beliau berkata MDeC telah menarik banyak syarikat-syarikat untuk berlabur di Malaysia tetapi mencari pelerja yang sesuai  masih sukar.

Ditubuhkan pada tahun 1996, MDeC adalah syarikat berkaitan kerajaan yang  menyelia pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC).

“Kita bukan sebuah entiti keuntungan. Kami adalah jambatan antara kerajaan dan industri. Kami membantu lebih 3,800 syarikat cuba untuk merapatkan jurang itu. Pelajar mula merasakan apa yang ia seperti berada dalam dunia korporat, ” katanya.

Beliau menyatakan bahawa kini MDeC membantu mencari graduan Teknologi Maklumat yang pakar dalam ‘Big Data’ untuk syarikat luar pesisir tersebut.

Beliau berkata Malaysia telah matang sebagai sebuah negara yang menawarkan perkhidmatan jaringan bersama, tetapi kini pelanggan mahu lebih banyak produk multimedia.

Seminar ini  dilancarkan oleh Pro Naib Canselor UKM (Penjanaan dan Prasarana)  Prof Dr Nor Ghani Md Nor.ukmnewsportal-bm
02

03