Malaysia Sasar Kurangkan 45 Peratus Intensiti Pelepasan Gas Rumah Hijau


Oleh Muhammad Fikri Abdullah
Foto Izwan Azman

BANGI, 22 April 2019 – Malaysia menyasarkan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dengan 10 peratus daripadanya adalah bersyarat iaitu pemindahan teknologi serta penerimaan bantuan kewangan dari negara maju.

Setiausaha Bahagian Pengurusan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Jaya Singam Rajoo berkata, pengurangan kadar pelepasan gas rumah hijau itu adalah selaras dengan komitmen Malaysia yang disuarakan ketika Perjanjian Paris pada Persidangan Iklim Paris 2015 (COP21).

“Kita berikrar pada 2009 untuk kurangkan 40 peratus intensiti pelepasan gas rumah hijau berbanding KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) menjelang 2020, dan ketika di Paris, negara meningkatkan sasaran itu kepada 45 peratus menjelang 2030.

“Berdasarkan data terkini yang sudah disahkan iaitu pada 2014, kita berjaya mengurangkan sehingga 33 peratus,” katanya ketika ditemui selepas Syarahan Umum Kursi Perubahan Iklim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bilik Majlis, Bangunan Pentadbiran baru-baru ini.

Selain itu, Jaya Singam berkata, MESTECC berhasrat untuk mewujudkan Pusat Perubahan Iklim bagi menyelaras pengumpulan data membabitkan perubahan iklim.

“Ketika ini, hanya ada empat pegawai yang bertanggungjawab terhadap perubahan iklim, sedangkan di Thailand ada hampir 300 orang.

“Pusat Perubahan Iklim ini akan mengumpulkan pakar dan data berkaitan bagi memudahkan usaha menggubal dasar dan membuat ramalan berkaitan perubahan iklim,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, hasrat kerajaan untuk menggubal Akta Perubahan Iklim masih di peringkat perancangan dan dijangka siap digubal dalam tempoh dua tahun.

“Antara kandungan akta itu adalah mewajibkan semua syarikat bagi setiap sektor ekonomi untuk mengemukakan laporan kadar pelepasan gas rumah hijau masing-masing.

“Jika ada akta, kita boleh wajibkan semua sektor ekonomi untuk membuat pengiraan dan melaporkan kadar pelepasan gas rumah hijau setiap tahun, supaya kita boleh lihat sektor mana yang perlu diberi tumpuan,” katanya.