Masyarakat disaran Belajar ke Peringkat Lebih Tinggi


Oleh Alyani Azhar
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 16 Julai 2017 – Prof Emeritus Dato’ Dr Abdul Latiff Mohamad menyarankan supaya masyarakat menyambung pendidikan ke peringkat lebih tinggi sama ada Sarjana atau Doktor Falsafah kerana Malaysia mempunyai banyak institusi pengajian tinggi bertaraf global.

Beliau berkata sebagai universiti penyelidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mempunyai kepakaran dan penyelia penyelidikan yang berpengalaman.

“UKM menggalakkan rakyat Malaysia supaya lebih berpengetahuan dengan meneruskan pendidikan yang lebih tinggi.

“Pendidikan di UKM juga adalah setaraf dengan universiti di Jepun, Amerika Syarikat, dan United Kingdom (UK),” katanya semasa menyampaikan Ucaptama Kolokium Siswazah ke-17 yang bertemakan Recent Trends and Challenges in Post Graduates Studies, baru-baru ini.

Katanya kementerian perlu merasionalisasikan atau memastikan pembiayaan pendidikan disalurkan kepada pelajar kerana kos penyelidikan adalah sangat tinggi.

Pada kolokium itu, Malina Kumaran dari Pusat Pengajian Biosains dan Bioteknologi, UKM telah dinobatkan sebagai salah seorang pembentang terbaik bagi penyelidikan The Effect of MRN Complex and ATM Kainase inhibitors on Zebrafish embryos.

“Saya bersemangat dan serius untuk menjadi sebahagian daripada komuniti saintifik dan merancang untuk menyambung pengajian saya ke peringkat PHD,” katanya.

Kolokium yang dianjurkan oleh Fakulti Sains dan Teknologi (FST) telah menghimpunkan seramai 208 peserta pasca siswazah FST UKM.