Media Sosial Ada Baik dan Buruknya – Prof Ulung Shamsul Amri

01
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 30 Jun 2015 – Penggunaan Media Sosial secara meluas dan berpengaruh telah membawa faedah tetapi ia juga ada buruknya di Malaysia.

Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata walaupun ia telah menjadi alat yang berkesan untuk berkongsi maklumat, media sosial  juga telah disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah dan maklumat salah.

Prof Shamsul berkata pembangunan media sosial sejak kebelakangan ini telah memberi kesan kurang sihat terhadap perpaduan negara.

“Dengan perkembangan dan kemajuan media sosial di Malaysia, kita perlu sedar bahawa keselamatan negara telah terbuka dengan pelbagai ancaman, meningkatkan ketelusan (transparency) tentang pemerintah dan ia turut membuka ruang kepada rakyat Malaysia bagi membincangkan isu-isu politik sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada program Wacana KITA yang bertajuk Peranan Media Sosial dalam Hubungan Etnik: Cabaran dan Harapan di sini pada 16 Jun lepas.

Profesor Shamsul  berkata walaupun media sosial turut menjadi saluran alternatif maklumat dalam mempromosikan nilai demokratik, ramai pengguna kurang berhati-hati apabila melemparkan tuduhan.

“Jika kita perhatikan, kita dapat melihat melalui perkembangan media sosial di Malaysia, kadar celik politik masih rendah kerana perbincangan di laman sesawang itu hanya tertumpu pada hal-hal peribadi, fitnah antara satu pihak dan pihak yang lain serta memanipulasi fakta yang betul.

“Kita juga dapat melihat bahawa pelayar media sosial turut mempunyai pengetahuan sejarah yang minima kerana kita jarang melihat perbincangan yang agak rasional di media sosial,” katanya.

Namun demikian media sosial adalah wahana yang boleh membincangkan bermacam-macam perkara melalui alam maya, dan ramai rakyat Malaysia  tidak ketinggalan ketika negara menghampiri status negara maju menjelang tahun 2020.

Sementara itu, panel dalam wacana tersebut, Datuk Mior Kamarulbaid Mior Shahid yang merupakan mantan Ketua Pengarang Berita Harian berkata perkembangan media sosial adalah sesuatu yang memberi kesan positif kepada masyarakat.

“Saya bercakap dalam skop penyebaran berita. Kalau dulu pada tahun 1980-an, kita cukup susah untuk mengetahui apa yang berlaku di sekeliling kita sehinggalah berita itu dikeluarkan di akhbar-akhbar. Tetapi kini, kita dengan mudah dapat mengetahuinya melalui media sosial.

“Ini adalah perkembangan positif kepada masyarakat termasuk wartawan yang membuat liputan kerana berita yang diperoleh mudah disampaikan kepada editor dan seterusnya kepada masyarakat,” katanya.

Katanya walaupun penyebaran sesuatu berita itu adalah cepat, tetapi beliau turut menegaskan kepada masyarakat supaya membaca dan mempercayai berita melalui sumber yang sahih sahaja.

“Sejak perkembangan media sosial, kita dapati banyak blog telah muncul dan kebanyakan penulisan yang dibuat adalah tidak berdasarkan fakta yang tepat. Jadi saya harap pengguna media sosial dapat membuat pertimbangan yang bijak dalam melayari laman sesawang yang ada dalam media sosial,” katanya.

Bagi Timbalan Pengarah (Kecemerlangan Pengajaran dan Inovasi) Pusat Pengajaran dan Teknologi Pembelajaran UKM, Prof Madya Dr Supyan Hussin, perkembangan media sosial telah menjadi platform untuk melibatkan diri dalam masyarakat.

“Hasil kajian yang dilakukan baru-baru ini mendapati pengguna media sosial bimbang, berhati-hati dan tidak yakin apabila berhadapan dengan isu-isu etnik dan perkauman yang berlegar dalam media sosial dan mereka juga belum bersedia untuk menghalang atau mencegah penyebaran isu-isu etnik dan perkauman dalam media sosial,” katanya.

Beliau berkata individu, masyarakat dan pihak berkuasa perlu memainkan peranan dalam menangani isu etnik dan perkauman yang semakin berleluasa di media sosial.

Beliau turut menasihatkan kepada masyarakat supaya menyemak kesahihan sesuatu info yang tersebar di media sosial dan jangan mudah viralkan info-info tersebut bagi mencegah kemungkaran yang lebih besar.

“Masyarakat juga perlu meningkatkan kesedaran kebertanggungjawaban dan bertindak berdasarkan undang-undang. Jika merasakan sesuatu info yang tersebar di media sosial adalah tidak betul dan menjatuhkan maruah seseorang, buatlah aduan kepada pihak berkuasa atau melakukan demo secara aman supaya wujud suasana positif dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Seorang lagi panel yang merupakan Ketua Pegawai Kandungan MCIL Multimedia Sdn Bhd, Tan Lee Chin berkata beliau beranggapan bahawa media sosial adalah medium terbaik dalam menyebarkan sesuatu maklumat kepada masyarakat.

“Untuk syarikat kami, kami memang menggunakan medium media sosial dalam melaksanakan tugas harian. Kami akan mengumpul maklumat yang telah diviralkan dan dijadikan bahan berita. Kami akan temubual mereka yang telah menjadi viral di media sosial dan memuat naik berita tersebut ke laman sesawang,” katanya.

Beliau berkata untuk generasi muda sepertinya, penggunaan media sosial adalah satu langkah yang bagus kerana sekarang ini masa telah melangkaui segalanya.

“Semuanya kita nak cepat. Jadi dengan adanya internet dan smartphones, kita dapat mengetahui sesuatu perkara dengan mudah dan cepat dan boleh di akses di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa,” katanya.

Ketua Hubungan Media Petronas, Irwan Abdul Rahman memberitahu bahawa melalui media sosial masyarakat akan berkongsi segalanya tentang idea dan kepintaran.

Wacana tersebut adalah anjuran KITA dan Majlis Profesor Negara.
02

03