Melaka Sedia Jadi Kuasa Maritim Dunia Semula – Ketua Menteri

Malacca Ready to Be World Maritime Power Again – Chief MinisterOleh Asmahanim Amir
Foto Ismail Ibrahim

Melaka, 14 April 2015 – Melaka yang dahulunya merupakan sebuah negeri pelabuhan bertaraf antarabangsa kini bersedia untuk mengulangi sejarah tersebut dengan mewujudkan kembali pelabuhan maritim bertaraf dunia.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ir Idris Haron berkata negeri Hang Tuah itu telah bersedia untuk menjadi negeri pelabuhan maritim bertaraf antarabangsa dan mengulangi kembali zaman kegemilangan Melaka pada abad ke-14 masehi.

“Saya pandang ini sebagai satu peluang. Kesungguhan China untuk menubuhkan maritime silk route (laluan sutera maritime) merupakan satu peluang keemasan untuk Melaka kembali ke zaman kegemilangannya.

“Kita bersedia untuk menjadi sebahagian daripada program ini (laluan sutera maritim) dan kalau boleh, bantu kita kerana kita serba kekurangan,” kata Idris pada majlis Seminar Melaka Sebagai Pelabuhan Maritim Antarabangsa di sini semalam. Seminar ini dianjurkan bersama Kerajaan negeri Melaka,  Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) dengan kerjasama Muzium Warisan Akademik UKM.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof. Dr. Imran Ho Abdullah.

Idris berkata pelabuhan-pelabuhan yang ada di Melaka sekarang ini perlu diselenggara kerana lumpur dan selut terlalu tebal sehingga menyebabkan kapal-kapal tidak boleh masuk berlabuh.

“Kita tak ada teknologi untuk bersihkan lumpur-lumpur tersebut ketika itu. Jadi lepas ini kita akan belajar dari negara-negara lain bagaimana nak selenggara pelabuhan kita.

Kita tahu bila kita lalai dalam menjaga fenomena alam ini, ia akan menyebabkan kita kerugian peluang. Jadi hari ini kita nak bagi peluang kedua kepada Melaka,” katanya.

Menurut beliau, pada ketika ini terdapat lima pelabuhan di Melaka yang tidak digunakan sepenuhnya.

“Contohnya kita ada pelabuhan tukar barang  (barter trade) di Kuala Linggi dan Sungai Rambai yang kurang digunakan. Kita juga ada pelabuhan kontena di Tanjung Beruas. Pelabuhan ini kecil saja, jadi kapal tak berhenti sebab tak ada perkhidmatan disediakan. Kita ada pelabuhan minyak dan gas di Tanjung Kling dan pelabuhan Muara Sungai Melaka yang merupakan pelabuhan mengangkut penumpang turun dan naik. Pelabuhan ini pun tak digunakan secara maksimum,” katanya.

Menurut Idris, semua pelabuhan tersebut tidak digunakan sepenuhnya dan kerajaan negeri Melaka akan menaik taraf pelabuhan-pelabuhan tersebut supaya kapal-kapal yakin untuk berlabuh.

Dalam pada itu, katanya beliau akan memantau kertas kerja yang dibentangkan dalam seminar tersebut.

“Sudah pasti idea yang dibentangkan ini adalah idea yang boleh digunakan untuk kita maju ke hadapan dalam kita membantu Melaka menjadi sebuah negeri maritim semula,” tambah beliau.