Menjelaskan Kepelbagaian Serangga

1
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

Foto  Shahiddan Saidi

BANGI, 4 Jun 2016 – Para ahli sains di Malaysia, terutamanya pakar kaji serangga, perlu memberi tekanan terhadap media arus perdana dan sektor swasta supaya tidak lagi mengelirukan masyarakat mengenai serangga, kata Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Sains dan Teknologi Prof Dr Rusli Daik.

Beliau berkata beberapa syarikat kawalan mahluk perosak menggalakkan media menggambarkan serangga sebagai perosak.

“Kita perlu memperbetulkan salah faham ini yang terdapat  di media, iklan dan juga perbincangan formal, yang merujuk serangga sebagai pembawa penyakit. Kita perlu melihat serangga dalam cahaya yang lebih positif,” katanya ketika melancarkan pameran dan program tentang serangga vektor bertajuk ‘Small Bites, Big Threat,’ di sini hari ini.

Walaupun beliau mengakui sesetengah serangga vektor membawa kuman yang menyebabkan penyakit, beliau berkata adalah tidak adil menganggap semua spesies tersebut sebagai makhluk perosak.

Prof Rusli, yang latar belakang penyelidikannya dalam Kimia dan polimer, menegaskan bahawa serangga adalah penting kepada kitaran  karbon dan kitaran nitrogen di bumi,  seperti penguraian bahan organik dan kesuburan  tanah.

“Majoriti serangga mempunyai peranan penting untuk dalam bio-kepelbagaian dan keseimbangan alam sekitar. Jika kita membunuh serangga sewenang-wenangnya, ekosistem kita akan menjadi tidak seimbang dan akhirnya menjejaskan kemandirian haiwan dan tumbuh-tumbuhan lain,” tegasnya.

Sebagai contoh, beliau berkata beberapa spesis serangga hutan dan juga ladang sawit membantu mengekalkan keseimbangan dinamik ekosistem.

Beliau menjelaskan bahawa walaupun terdapat banyak maklumat mengenai  serangga sebagai pembawa penyakit, laporan tentang pentingnya serangga kepada manusia tidak begitu banyak.

Beliau melahirkan harapan bahawa entomologist, atau pakar serangga dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan universiti lain yang mengambil bahagian dalam program tersebut akan membantu memperbetulkan salah anggapan ini.

Program sehari itu dianjurkan oleh Pusat Serangga Sistematik (CIS), Fakulti Sains dan Teknologi (FST) di UKM.

Pengarah program Dr Izfa Riza berkata kira-kira 18 pelajar pasca siswazah dari CIS telah mengambil bahagian dalam pameran itu, dengan sebahagian daripada mereka membuka gerai menerangkan pelbagai spesies serangga.

Antara perkara yang dipaparkan dalam program ialah pemahaman kitaran hidup serangga dan langkah berjaga-jaga yang perlu diambil apabila hidup dalam persekitaran bandar.

Beliau berkata terdapat juga dua syarikat kawalan makhluk perosak yang menawarkan barangan dan perkhidmatan mereka pada harga bersaing.

Menurut beliau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan lebih separuh penduduk dunia berisiko tinggi kepada penyakit seperti malaria, denggi, leishmaniasis, penyakit Lyme, schistosomiasis, dan demam kuning, yang dibawa oleh nyamuk, lalat, kutu, siput air dan vektor yang lain.

Setiap tahun, lebih daripada satu bilion orang dijangkiti dan lebih daripada satu juta orang mati akibat penyakit bawaan vektor.ukmnewsportal-bm
2

3