Menteri KPT Lawat Kampus UKM, Tinjau Keadaan Pelajar


Oleh Asmahanim Amir
Foto oleh Ikhwan Hashim

BANGI, 22 Mac 2020 – Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad mengadakan lawatan ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi meninjau keadaan pelajar yang tidak pulang ke kampung halaman rentetan Perintah Kawalan Pergerakan (CMO) yang telah dikeluarkan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Dalam lawatan tersebut, beliau telah melawat Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Kolej Keris Mas dan Pusanika bagi memastikan kebajikan pelajar seperti makanan, minuman, keperluan harian dan kemudahan kesihatan pelajar yang berada di kampus terjamin.

Semasa lawatan tersebut, beliau telah menyampaikan makanan percuma kepada pelajar-pelajar di Kolej Keris Mas serta memberi sumbangan barangan keperluan kepada pelajar.

Dato’ Dr. Noraini turut berkesempatan melihat pengurusan pengagihan bantuan daripada Food Bank Malaysia. Beliau turut menyumbang keperluan harian kepada pelajar dan menyerahkan sumbangan cek berjumlah RM3,000 daripada CEO EMGS kepada UKM untuk disalurkan kepada pelajar yang berada di kampus sepanjang tempoh MCO.

Bagi memastikan bekalan makanan dan minuman mencukupi, UKM turut merima sumbangan barangan makanan daripada alumni dan pihak luar.

Di PKU, Dato’ Dr. Noraini telah melawat keadaan bilik gerakan COVID-19 yang terletak di Unit Kecemasan. Bilik gerakan tersebut merupakan pusat sehenti (one stop centre), iaitu semua gerak kerja dan carta alir berkaitan pelbagai proses kerja dalam kampus yang mempunyai kaitan dengan COVID-19 dikeluarkan. Selain itu, beliau turut meninjau bilik di mana pencuci tangan (hand sanitizer) disediakan sendiri pleh pihak PKU dengan kerjasama Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk memastikan bekalan mencukupi.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor berkata UKM amat mengambil berat kebajikan pelajar yang tinggal di kolej kediaman. Keperluan harian, makanan dan kesihatan mereka sentiasa dipantau oleh pihak Hal-ehwal Pelajar dari semasa ke semasa. Kesejahteraan dan kebajikan pelajar menjadi keutamaan penting kepada UKM.

“UKM sentiasa memantau dan memastikan pelajar dan warga UKM mengikuti arahan MCO dan KPT dari semasa ke semasa sepanjang tempoh ini. Warga UKM juga sentiasa diingatkan melalui makluman hebahan yang dikeluarkan oleh universiti untuk menjaga kesihatan dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan penularan COVID 19”.

“Kita telah tubuhkan Bilik Gerakan COVID-19 UKM di PKU yang beroperasi sepanjang masa. Selain itu, Jawankuasa Tindakan Krisis UKM juga ditubuhkan bagi kategori penyakit berjangkit,” katanya.

Beliau berkata bagi memastikan warga UKM sentiasa mendapat info penting berkenaan wabak tersebut dan pematuhan CMO, laman sesawang COVID-19 UKM diwujudkan (https://www.ukm.my/portal/covid-19/), memaparkan pelbagai info dan soalan lazim (FAQ). Selain itu, laman media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter turut memuatkan pelbagai info berkenaan pandemik ini.

“Warga UKM juga turut dibekalkan dengan penutup hidung dan mulut (mask) dan pencuci tangan (hand sanitizers) yang boleh diambil secara percuma di Bilik Gerakan COVIC-19,” katanya yang turut sama mengiringi Dato’ Dr. Noraini.

Lawatan Menteri KPT diiringi oleh barisan pengurusan tertinggi Universiti iaitu Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Pelajar, Prof. Dato’ Ir. Dr. Othman A. Karim dan Pendaftar, Dr. Ina Md Yasin.

Disamping itu, UKM juga turut menerima kehadiran Ketua Balai Polis Bandar Baru Bangi, Insp. Suharman Che Musa bersama lima orang anggota yang lain. UKM mendapat kerjasama yang erat daripada pihak PDRM dalam usaha melaksanakan MCO dan memastikan arahan MCO dipatuhi oleh warga kampus.