Menteri Mentor UKM Sedia Berdialog bersama Pelajar

1
Oleh Asmahanim Amir
Gambar oleh Shahiddan Saidi

BANGI, 27 September 2016 – Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani, yang juga adalah Menteri Mentor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedia berdialog bersama pelajar bagi mengupas isu-isu yang mereka ingin bangkitkan.

Beliau berkata, sebagai Menteri Mentor UKM, beliau akan sentiasa bersama pelajar dalam semua isu yang ingin dibangkitkan dan bersedia untuk berdialog dan berbincang dengan pelajar bagi memberi penerangan terhadap isu-isu tersebut.

“Jika anda tidak berpuas hati dengan kerajaan, saya sanggup berdepan dengan anda untuk berdialog dan berbincang.

“Anda tidak perlu mengikut perhimpunan jalanan bagi membantah dasar kerajaan kerana itu tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya semasa Majlis Perjumpaan Menteri Mentor UKM bersama Pelajar Tahun Satu di UKM, baru-baru ini.

Beliau berkata, masalah yang dihadapi sekarang adalah pelajar telah dihasut oleh kumpulan-kumpulan yang tidak bertanggungjawab untuk mengadakan demostrasi jalanan.

“Sebagai pelajar, anda tidak boleh mengikut kumpulan tersebut kerana terdapat banyak saluran yang boleh digunakan untuk mendapatkan penjelasan dan maklumat sahih,” katanya.

Beliau juga turut berpesan kepada semua pelajar baharu supaya menanamkan sifat multi-tasking dan berkeyakinan dalam apa tindakan yang dilakukan.ukmnewsportal-bm
2

3