Menteri MOSTI Beri Sumbangan Barangan Keperluan Harian kepada Pelajar


Oleh Asmahanim Amir
Foto oleh Hal Ehwal Pelajar

BANGI, 21 Mac 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima sumbangan barangan keperluan harian daripada Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang mempunyai rasa bertanggungjawab terhadap keadaan pelajar yang tidak pulang ke kampung halaman berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia bermula 18 hingga 31 Mac 2020.

Beliau juga turut prihatin dengan keadaan warga teksi yang tidak dapat mencari rezeki sepanjang tempoh MCO dilaksanakan. Justeru itu, penghantaran barangan tersebut dibuat menggunakan perkhidmatan teksi bagi menghadkan pergerakan dan mematuhi MCO yang telah digariskan serta dapat membantu pemandu teksi mencari sumber pendapatan sampingan.

Antara barangan yang disumbang termasuklah makanan, minuman, dan barangan keperluan mandian. Pihak Hal Ehwal Pelajar akan membuat agihan kepada pelajar-pelajar melalui kolej kediaman masing-masing termasuk di Kampus Kuala Lumpur.

Semoga usaha murni ini akan menjadi contoh dan pemangkin kepada rakyat Malaysia, untuk sama-sama membantu mereka yang memerlukan bagi menghadapi waktu yang getir ini.