MIDA Bantu Syarikat Universiti Labur Dalam Sektor Industri

MIDA Backs University Firms Wanting To Invest In IndustryOleh Asmahanim Amir
Foto Abdul Raai Osman

BANGI, 5 Mei 2015 – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedia membantu syarikat-syarikat yang berhasrat untuk melabur dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan bagi memudahkan pelaksaan projek-projek yang dicadangkan.

Timbalan Pengarah Bahagian Teknologi dan Bisnes Frontier MIDA, Farez Amha Abdullah berkata pelbagai perkhidmatan telah disediakan oleh MIDA termasuk membekalkan maklumat mengenai peluang pelaburan serta syarikat-syarikat yang mencari rakan-rakan usahasama.

“Untuk meningkatkan lagi peranan MIDA dalam membantu pelabur, wakil kanan dari agensi-agensi penting kerajaan ditempatkan di ibu pejabat MIDA di Kuala Lumpur bagi memberi nasihat  kepada para pelabur mengenai dasar-dasar dan prosedur kerajaan,” katanya semasa menyampaikan forum Bicara Industri: Teknologi & Bisnes Frontier di sini pada 30 April lepas.

Forum ini anjuran Pusat Inovasi Kolaboratif (PIK), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) dan Pusat Pengurusan Penyelidikan & Instrumentasi UKM (CRIM).

Beliau berkata para pelabur digalakkan untuk berjumpa dengan pegawai MIDA bagi membincangkan kepentingan projek sebelum membuat pelaburan.

“Kami juga turut mempunyai majlis penyelidikan. Jika universiti mempunyai syarikat sendirian berhad (Sdn Bhd) dan mahu menjalankan penyelidikan, anda boleh datang ke MIDA dan berbincang dengan kami tentang penyelidikan yang hendak dilakukan.

“Kita akan membuat promosi kepada industri luar berkenaan dengan penyelidikan tersebut dan menjual hasil penyelidikan itu kepada mereka.

“Adakah anda tahu kenapa kita mempromosikan produk tertentu? Ini kerana orang ramai mahu tahu apakah pasaran produk yang dikeluarkan oleh sesebuah syarikat yang melabur dengan MIDA,” katanya.

Beliau berkata bahagian Teknologi dan Bisnes Frontier akan mengenalpasti trend  teknologi dan aktiviti perniagaan terkini dan membangunkan pelan hala tuju strategik yang merangkumi nilai-nilai baru serta teknologi terkini bagi industri yang terpilih.

“Kita juga akan bekerjasama dengan bahagian Industri dan Perkhidmatan bagi mengenal pasti sektor atau syarikat-syarikat baru yang mempunyai teknologi yang sesuai untuk industri Malaysia dan persekitaran perniagaan yang membangun,” katanya.

Beliau berkata dalam menyediakan perkhidmatan pelaburan kepada syarikat luar, pihaknya menggunakan kaedah ekosistem yang akan membantu memberikan wawasan ke dalam aktiviti nilai tinggi dan pemahaman yang lebih baik daripada mana-mana kelompok tertentu.

“Kami juga akan mengenal pasti peluang untuk mempromosikan bagi mengukuhkan lagi kelompok industri dan bersama-sama memudahkan proses membuat keputusan berkaitan sesuatu produk yang dihasilkan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar berkata forum ini adalah platform yang terbaik kepada ahli akademik dan para penyelidik tahu sama ada aktiviti penyelidikan dan penjanaan kepakaran dalam kalangan graduan UKM selari dengan permintaan di alam realiti sama ada di pasaran mahupun luar negara.

“R&D (Peyelidikan dan Pembangunan) yang dijalankan oleh Universiti perlu inovatif dan proaktif selari dengan permintaan rakan industri dan pasaran.

“Bagi memastikan R&D yang dilaksanakan oleh Universiti lebih bermakna kepada rakan industri dan pasaran, input yang kemaskini berkaitan trend industri amat diperlukan,” katanya.

Tambah beliau berharap agar bicara industri tersebut dapat memberi manfaat kepada semua peserta dan pihak berkepentingan dalam aspek R&D dan inovasi.

ukmnewsportal-bm