Minggu Mesra Mahasiswa 2018 Cipta Kelainan


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 6 September 2018 – Minggu Mesra Mahasiswa (3M), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk domain sukan tahun ini mencipta kelainan apabila menyaksikan perlawanan persahabatan bola sepak antara pelajar baharu dari Kolej Aminuddin Baki (KAB) dengan UKM FC.

Walaupun kejayaan memihak kepada UKM FC dengan jaringan 2-0, namun semangat yang ditunjukkan oleh pasukan KAB tidak boleh dipandang mudah.

Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, walaupun pertandingan itu hanya pertandingan persahabatan, namun semangat juang yang ditonjolkan oleh pasukan itu sangat mengagumkan.

“Anda (pelajar) bertuah kerana mendapat peluang untuk beraksi dengan bintang bola sepak UKM yang kini berada dalam Liga Perdana 2018.

Mungkin akan ada di antara anda yang akan menganggotai pasukan UKM FC suatu hari nanti,” katanya.

Selain dari perlawanan persahabatan antara UKM FC dengan KAB, turut diadakan persahabatan antara MKB All Stars dan wakil Penghulu setiap kolej kediaman. Dalam pertandingan tersebut, MKB yang diwakili oleh Prof Tan Sri Dr Noor Azlan dan pengurusan tertinggi UKM telah menang dengan jaringan 1-0.

Perlawanan persahabatan bola jaring juga turut diadakan antara Pensyarah dan pelajar baharu Kolej Tun Syed Nasir (KTSN). Dalam pertandingan itu, pasukan Pensyarah UKM telah menewaskan pasukan KTSN dengan jaringan 5-3.

Dalam majlis yang sama, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan turut menyampaikan hadiah kepada semua pemenang bagi acara kriket, bola tampar wanita dan lelaki, bola keranjang wanita dan lelaki, bola sepak dan bola jaring.