MoA UKM dan EnQuest Bawa Program Kejuruteraan Kimia ke Peringkat Antarabangsa


Oleh Asahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 21 Julai 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan EnQuest Petroleum Production Malaysia Ltd. (EnQuest), menjalinkan kerjasama bagi meningkatkan Program Kejuruteraan Kimia di bawah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) kepada satu program yang diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui akreditasi oleh The Institution of Chemical Engineers (IChemE), iaitu sebuah badan pentauliahan antarabangsa untuk program kejuruteraan kimia.

Dalam kerjasama melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) tersebut, EnQuest – sebuah syarikat antarabangsa dari United Kingdom telah mengambil peranan utama untuk membiayai sepenuhnya yuran akreditasi IChemE selama empat tahun untuk Program Kejuruteraan Kimia di UKM.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat (JIAM), Prof. Dato’ Dr Imran Ho Abdullah berkata, MoA itu akan mengukuhkan lagi kerjasama dan rangkaian kedua-dua pihak dan meningkatkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bidang kejuruteraan kimia.

“Sebagai sebuah universiti penyelidikan di Malaysia dan mempunyai akreditasi, graduan kejuruteraan kimia UKM akan sentiasa dicari oleh pihak industri sama ada tempatan atau antarabangsa, yang akhirnya akan meningkatkan kebolehpasaran graduan kami (UKM),” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Menandatangani MoA di Bilik Majlis, Bangunan Canselori baru-baru ini.

Katanya, harapannya adalah untuk melihat UKM menjadi universiti antarabangsa yang terkenal, di mana para akademik dan pelajar mendapat pendedahan sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Saya percaya akreditasi IchemE akan meningkatkan lagi reputsi dan keserlahan UKM di persada global dengan memberikan standard antarabangsa dan kualiti pendidikan tinggi.

“Saya juga berharap usaha ini akan meningkatkan bilangan pengambilan pelajar antarabangsa sepenuh masa dan mengukuhkan lagi program mobiliti inbound dan outbound pada masa akan datang,” katanya.

Akreditasi program oleh IChemE bukan sahaja dilihat dapat meningkatkan kualiti pengajian tinggi dalam kejuruteraan kimia dan kompetensi dalam kalangan graduan UKM, tetapi yang lebih bermakna adalah apabila program yang akan diakredit kelak dapat memberikan graduan satu platform untuk laluan profesional dalam pembangunan kerjaya pada masa depan.