Naib Canselor UKM Terima Anugerah Pingat Bakti Pertahanan Awam

1
Laporan dan gambar oleh Kapten Bersekutu (PA) Mohamad Shahril Hussain

BANGI, 28 April 2016 – Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dianugerahkan Pingat Bakti Pertahanan Awam (PBP) pada suatu Majlis sempena Hari Ulang Tahun Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Peringkat Kebangsaan Ke-64 yang berlangsung di Dewan Pejabat Pertahanan Awam Negeri Perlis baru-baru ini.

Beliau juga merupakan Komandan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) UKM, dengan pangkat Penolong Pesuruhjaya Kehormat (PA).

UKM mula terlibat secara aktif dengan Kor SISPA pada tahun 2012 dan telah melahirkan 117 Pegawai Kadet SISPA Bertauliah.

Prof Noor Azlan melahirkan perasaan syukur dan mengucapkan terima kasih kepada JPAM atas penganugerahan itu selari dengan Bidang Keberhasilan Utama UKM Ketiga iaitu Perkongsian Pintar dan Keterlibatan Strategik yang diperkenalkan beliau di UKM.

Pada majlis itu, Ketua Pengarah JPAM Datuk Ogu Salim Omar telah menyampaikan penganugerahan kepada 105 orang.

Turut hadir pada majlis ini para Komandan Kor SISPA universiti lain, wakil-wakil agensi kerajaan dan Pegawai-pegawai JPAM seluruh Malaysia.ukmnewsportal-bm