Nalina Teruskan Legasi Bapa


Oleh Siti Lailatul Mastura Norazlan
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 2 November 2019 – Bapa borek, anak rintik... Itulah ungkapan yang sesuai diberikan kepada Nalina Santhiran yang menjadikan bapanya, Santhiran Veloo sebagai idola dalam menjejak impian menjadi seorang Peguam.

Minat yang mendalam terhadap analisis dan suka membaca menjadi pendorong anak gadis kelahiran Petaling Jaya, Selangor dan dibesarkan di Teluk Intan, Perak ini untuk merealisasikan cita-citanya.

Nalina, Penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen ke-47 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), adalah anak pertama dari tiga orang adik beradik pasangan Leela Palanisamydan dan Santhiran Veloo.

“Pada mulanya, saya bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang Kesusateraan

Bahasa Inggeris (English Literature), tetapi tergerak hati atas dasar academic curiosity untuk menceburi bidang perundangan semasa proses aplikasi UPU di peringkat Matrikulasi,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua ibu bapanya tidak pernah mengongkong beliau dan adik-adiknya untuk menceburi bidang yang mereka suka.

“Mereka (ibu bapa) sentiasa menggalakkan kami adik beradik meneruskan cita-cita yang kami minati. Ibu bapa sendiri tidak menyangka bahawa saya berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perundangan,” katanya.

Bercerita tentang kejayaanya, beliau berkata agak cliche baginya menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai rahsia kejayaan.

“Saya hanya membuat to do list pada setiap hari dan memberi fokus pada list tersebut,” ujarnya.

Mengikuti jejak langkah bapanya yang merupakan seorang pengamal undang-undang dan bekas majistret, Nalina terus mengorak langkah bagi mendalami bidang tersebut.

Namun, minat beliau lebih terarah kepada undang-undang sivil berbanding bapanya yang lebih tertumpu kepada undang-undang jenayah.

Kejayaan Nalina bukan hanya di kelas sahaja, malah beliau juga terlibat aktif dalam aktiviti keusahawanan (social entrepreneur). Buktinya, seawal tahun satu pengajiannya di UKM, beliau telah menyertai pertandingan cabaran idea Dubai Regional Finalist The 7th Clinton Foundation The HULT Prize Social Entrepreneurship Challenge di Dubai.

Selain itu, antara program lain yang disertainya diperingkat antarabangsa termasuklah World Federation United Nations (WFUNA) Youth Seminar 2016, German Southeast Asian Centre of Excellence for Public Policy and Good Governance (CPG) Summer School Program, Goethe University, Germany 2017 dan Harvard Project for Asian and International Relations (HPAIR).

“Melalui aktiviti tersebut, saya mempunyai kemahiran yang lebih kepada commercial awareness,” ujarnya.