NEON RUN WARNAI PENUTUPAN KARNIVAL RAKAN MUDA

Berita oleh: Hooi Yi & Zhi Min

BANGI, 26 April 2017 – Seramai 225 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan orang awam telah menyertai larian amal Neon Run yang diadakan di Pusanika, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Larian ini diadakan bersempena majlis penutupan Mini Karnival Rakan Muda (RMMC) yang dianjurkan oleh Sekretariat Rakan Muda (SRM).

Istimewanya larian ini memerlukan setiap peserta memakai gelang yang mengeluarkan cahaya neon berwarna-warni serta tiada konsep pemenang dipertandingkan.

Peserta hanya perlu membayar RM35 untuk pelajar UKM dan RM50 untuk orang awam bagi melayakkan mereka untuk mendapatkan sijil penyertaan, medal serta baju.

Program RMMC telah diadakan selama dua hari bermula pada 13 hingga 14 April bertujuan untuk memberi pendedahan tentang cara perniagaan dan mencungkil kebolehpasaran pelajar yang ingin menceburi dalam bidang keusahawanan.

Menurut Ketua Program, Nur Aqilah Mustapha Kamal, objektif utama larian amal Neon Run diadakan adalah untuk mengutip dana sebanyak RM1000 dan disumbangkan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).

“Selain itu, program RMMC ini juga merupakan program amal dan telah mendapat kejayaan yang besar dan saya berhadap program ini boleh diteruskan pada masa hadapan.”

Menurut salah seorang peserta Neon Run, Amira Ariffin, beliau dapat mengurangkan tekanan belajar dengan mengikuti larian amal ini serta dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dengan rakan-rakannya.

“Larian amal ini dapat menyatukan silaturahim antara pelajar universiti dengan orang awam,” kata peserta, Ahmad Yusof.

Bagi Nur Azian yang juga menyertai larian ini, penglibatan dalam larian amal ini telah memberi peluang kepada beliau untuk menyumbangkan dana kepada NASOM dan secara tidak langsung dapat memberi faedah dari segi kesihatan.

Majlis penutupan karnival ini telah dirasmikan oleh Pro Naib Canselor Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd. Marzuki Mustafa dan dimeriahkan dengan persembahan Extreme Workout.