Pakar Perunding Kanan Pembedahan Pediatrik HCTM dilantik sebagai Pemeriksa Kanan EBPS


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

CHERAS, 25 Mac 2019 – Pakar Perunding Kanan Pembedahan Pediatrik, Jabatan Surgeri Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Dayang Anita Abdul Aziz telah diberi pengiktirafan oleh European Board of Paediatric Surgery (EBPS) apabila dilantik sebagai Pemeriksa Kanan Eropah 2019 yang akan diadakan di Amsterdam pada Oktober ini.

Pelantikan itu adalah sejarah bagi UKM kerana Prof. Dr. Dayang Anita adalah Pakar Pembedahan Pediatrik pertama di Malaysia dan Asia yang dilantik sebagai pemeriksa kanan EBPS.

“Sebenarnya pengiktirafan ini bukanlah untuk saya seorang tetapi untuk semua warga Pediatrik dan juga mantan Naib Canselor, Prof. Emerita Tan Sri Dato’ Sri Dr. Sharifah Habsah Syed Hassan Shahabudin dan Prof. Tan Sri Dato’ Sri Dr. Noor Azlan Ghazali yang banyak membantu dari awal sehinggalah kita (UKM) mendapat status akreditasi sebagai pusat peperiksaan EBPS untuk Part I dan Part II pada tahun 2011.

“Pusat peperiksaan ini adalah yang pertama di luar negara Eropah. Ia bukan hanya sekadar pusat peperiksaan tetapi juga pusat latihan kepada pelatih pakar bedah pediatrik tempatan dan ASEAN mendapatkan latihan kepakaran,” kata Prof. Dr. Dayang Anita.

Katanya, ada negara-negara lain seperti India yang mengadakan peperiksaan EBPS part I, tetapi hanya PPUKM sahaja yang boleh mengadakan peperiksaan part I dan part II.

“Kita berbangga dengan pengiktirafan ini. Bermula tahun 2012, saya telah dilantik menjadi Ketua Pasukan Pemeriksa Tempatan EBPS dan pada tahun itu jugalah peperiksaan EBPS yang pertama diadakan di PPUKM,” jelasnya.

Beliau turut memberitahu bahawa apabila dilantik sebagai Pemeriksan Kanan Eropah, beliau bukan sahaja menjadi pemeriksa, tetapi beliau turut perlu membuat soalan peperiksaan.

“Pelantikan ini akan dapat memberi pengalaman kepada saya untuk mengadakan peperiksaan tempatan sebab saya membangunkan Program Sarjana Pedriatrik di UKM menggunakan silibus dan tatacara European Board.

“Ini adalah pengalaman dan bantuan kepada saya dalam membangunkan program UKM untuk kemudahan pelajar kita sendiri,” terangnya.

Katanya hampir 10 tahun peperiksaan itu diadakan di PPUKM, banyak faedah yang telah diperolehi iaitu dari aspek pembentukan program tempatan yang lebih holistik kepada pengeluaran modal insan dan didapati calon-calon yang datang peperiksaan tersebut bertambah dari tahun ke tahun.