Pasangan Adik Beradik Rai Kejayaan Bersama


Oleh Siti Lailatul Mastura
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 3 November 2019 – Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia kali Ke-47 ini menjadi saat manis bagi pasangan adik beradik iaitu Mohd Hasra Ibrahim dan adiknya Noor Shahira Ibrahim.

Mohd Hasra, 32, yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling), Fakulti Pendidikan (FPEND) pernah mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sosiologi Antopologi di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Manakala, adiknya, Noor Shahira, 28, adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin Falsafah dari Fakulti Pengajian Islam (FPI) UKM, sebelum menyambung pengajian Ijazah Sarjana Sosiologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).

Kejayaan mereka itu diibaratkan seperti mimpi menjadi kenyataan kerana hasrat mereka untuk bergraduasi bersama tercapai.

“Kami tidak sangka dapat tamatkan pengajian bersama kerana kami mendaftar pada tahun yang berbeza,” kata Mohd Hasra.

Beliau berkata, walaupun berada dalam bidang yang berbeza, ada ketikanya mereka berkongsi buku yang sama bagi menjalankan penyelidikan.

Anak sulung dari tiga beradik itu berkata sepanjang pengajiannya, cabaran yang besar dilaluinya bermula selepas kematian bapa mereka pada tahun lepas (2018).

“Sebagai anak sulung, saya perlu membahagikan masa untuk menjaga keluarga, disamping memberi fokus kepada pengajian,” katanya.

Mohd Hasra turut menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah.

Turut bergraduasi pada majlis yang sama ialah pasangan adik beradik, Wan Nur Fazlina Abdol Jani yang menerima Ijazah Doktor Falsafah Kejuruteraan, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) dan Wan Nur Farah Syuhada Abdol Jani yang menerima Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains Aktuari) dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST).