Pasukan Bola Tampar UKM dinobat Pasukan Lelaki Terbaik SUKIPT 2018


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 15 Feb 2018 – Pasukan bola tampar Univrsiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dinobatkan sebagai pasukan lelaki terbaik Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2018 yang telah menutup tirai pada 10 Februari lepas.

Pasukan yang diketuai oleh Mohd Aizat Mohd Zokri, pelajar tahun akhir Fakulti Pendidikan telah memenangi pingat emas selepas menewaskan pasukan UPM dengan agregat 3-1.

Mohd Aizat berkata kejayaan itu adalah kerjasama dan semangat berpasukan yang tinggi yang ditonjolkan oleh pasukannya sepanjang SUKIPT berlangsung.

“Kami lebih meningkatkan kualiti latihan berbanding kemenangan kerana kami berpegang bahawa jika berlatih dengan bersungguh-sungguh, inshaAllah kemenangan itu akan datang kemudian,” katanya selepas Majlis Penutup SUKIPT 2018 baru-baru ini.

Beliau berkata pasukan bola tampar UKM akan terus menempa kejayaan demi kejayaan kerana pasukan itu memiliki pemian bertaraf nasional.

“Kita mempunyai tiga hingga empat pemain yang telah mewakili Negara dalam Sukan SEA 2017. Jadi, saya yakin pasukan kami mempunyai masa depan yang cerah untuk menaikkan lagi nama UKM dipersada sukan negara,” katanya.

Beliau berharap agar pasukan bola tampar UKM akan terus mengekalkan momentum yang telah ada dan sentiasa menunjukkan prestasi cemerlang.

SUKIPT 2018 adalah kejohanan bertaraf antarabangsa kerana julung kalinya menerima penyertaan dari Christ University, India untuk sukan kriket.

Selain itu, tiga negara ASEAN yang turut bertanding dalam SUKIPT ialah Thailand  yang diwakili oleh Thaksin University, Nakhon Si Thammarat Rajabhat University, Phuket Rajabhat University, Suratthani University dan Thammasat University.

Indonesia diwakili Universitas Negeri Jakarta dan Universitas Surabaya manakala Singapura diwakili oleh Nanyang Technological University.

SUKIPT edisi keempat telah mempertaruhkan 238 pingat emas, 238 pingat perak dan 399 pingat gangsa untuk 27 acara.

Temasya sukan itu disertai oleh 78 kontinjen iaitu 20 universiti awam, 42 universiti swasta, sembilan universiti antarabangsa, lima institut pendidikan guru, Politeknik Malaysia dan Kolej Komuniti Malaysia telah berlangsung  dari 2 hingga 10 Februari di UKM, Bangi.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UKM, Tan Sri Dato’ Seri Dr Ibrahim Saad. Turut hadir ialah Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali.