Pasukan E-Sukan UKM Johan Keseluruhan Celcom XPAX KEK Semester 2


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 20 Disember 2019 –Pasukan E-sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Celcom XPAX Kejohanan E-sukan Kampus (XPAX KEK) Semester 2, yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pertandingan tersebut, pasukan Ultra Instinct telah dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan untuk Mobile Legends: Bang Bang bagi dua semester berturut-turut, dan untuk Semester 2, pasukan ini yang mengetuai pasukan E-sukan UKM telah diumumkan sebagai juara keseluruhan XPAX KEK Xvideos bersama dengan pasukan Madness Esports yang mewakili UKM dalam kejohanan PUBG Mobile.

Ketua Kumpulan Mobile Legends: Bang Bang, Ashif Halaj Abdul Majid dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina berkata pasukannya sentiasa menjalankan latihan walaupun tiada pertandingan.

“Apabila masuk pertandingan, target kami adalah untuk menjadi johan. Jadi persediaan awal perlu dilakukan. Sesi latihan kami adalah selepas pukul 10 malam dan kami akan memastikan semua tugasan yang diberikan oleh pensyarah disiapkan terlebih dahulu,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Biasiswa tajaan Celcom XPAX di Kafe Canseloria baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Jaringan Industri Dan Masyarakat), Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah berkata, pihak universiti akan memantau keputusan peperiksaan para pelajar tersebut memandang mereka telah menerima biasiswa atas kemenangan ini.

E-sport juga sama seperti sukan-sukan lain. Saya yakin pelajar-pelajar ini dapat membahagikan masa dengan baik antara sukan dan pelajaran kerana e-sport memerlukan pemain berfikir secara pantas,” katanya.

Kemenangan itu telah melayakkan kedua-dua pasukan menerima trofi dan biasiswa bernilai RM50,000 tajaan Celcom XPAX untuk dikongsi bersama sembilan pemenang.

Pasukan Ultra Instinct diwakili oleh Ashif Halaj, Nik Nazrin Shahzan Nik Adlin Fariz, Muhammad Hazirie Abdul Rahim‪, Muhammad Aiman Ahmad Ansary dan Azirool Fareed Sunder.

Manakala pasukan Madness Esports disertai oleh Muhammad Amirul Amin Jaafar, Ahmad Nur Faid Afiq Aziz, Muhammad Aiman Ezan dan Anas Azfar Ab Karim.

XPAX KEK adalah satu kejohanan e-sukan yang dianjurkan oleh My Game On dan Kitamen untuk memupuk semangat kesukanan dan melahirkan bakat-bakat e-sukan baru tanah air selain mendidik dan mendedahkan para pelajar tentang industri e-sukan dan juga permainan. ‪