Peka kepada Isu Semasa – Irwan Serigar

1
Oleh Radzuan Ghazali
Foto Ahmad Shahiddan Saidi

PUTRAJAYA, 27 Julai 2016 – Pegawai kerajaan disaran supaya sentiasa peka dengan isu-isu semasa yang berkaitan dengan negara bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang pesat.

Demikian menurut Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah semasa berucap di Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia (PERKEM) ke-11 2016 yang dianjurkan oleh Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Justeru, menurut Tan Sri Dr Mohd Irwan, penganjuran persidangan ekonomi seperti ini adalah satu langkah bertepatan kerana boleh menjadi suatu platform untuk perkongsian idea dan pendapat tentang isu-isu semasa bersama orang ramai, di samping mengemukakan inisiatif baru kepada pihak kerajaan untuk mendepani cabaran ekonomi negara secara bijaksana dan berkesan.

Terdahulu, Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan dalam ucapan alu-aluanya berkata, UKM sentiasa bersedia untuk berganding bahu dengan kerajaan dalam melahirkan modal insan yang berintegriti tinggi bagi menggalas amanah negara ke arah memajukan Wawasan 2020.

Beliau turut menekankan, pendedahan dalam persidangan penting kepada perkembangan ilmu dalam usaha mewujudkan kerjasama dalam bidang akademik.

Persidangan dua hari, yang bertema Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Sejagat, melibatkan 150 penyertaan dari dalam dan luar UKM. Ini termasuk dua sesi dialog yang melibatkan pakar-pakar dari agensi kerajaan dan swasta serta pembentangan kertas kerja.

Persidangan ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia dan Majlis Profesor Negara.

Hadir sama di persidangan tersebut adalah Dekan FEP, Prof Dr Norman Mohd Salleh dan Pengerusi PERKEM Prof Madya Dr Zulkefly Abdul Karim. ukmnewsportal-bm

2

3