Pelajar FSK dan Pensyarah Menang Cabaran Idea dan Hari Inovasi UKM

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abdul Raai Osman

BANGI, 13 Okt 2015 – Seorang pelajar tahun satu Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pensyarah Pusat Citra UKM telah memenangi Cabaran Idea UKM dan Hari Inovasi 2015 yang diadakan di Kampus Bangi pada 22 September lalu.

Maznah Ibrahim yang merupakan pensyarah di Pusat Citra telah menewaskan 10 peserta yang lain selepas idea beliau, iaitu Service Learning yang mengetengahkan inovasi penggunaan bahan-bahan terbuang, telah mengkagumkan para juri.

Beliau berkata idea untuk mengetengahkan Service Learning adalah bagi mengurangkan pembuangan barang-barang yang tidak digunakan seperti botol air yang dijadikan pengasah pensil, manakala bunting dan banner dijadikan beg.

“Di kampus, kita mempunyai terlalu banyak program dan setiap program tersebut mempunyai bunting dan juga banner. Kedua-dua kain rentang ini tidak akan digunakan lagi selepas program itu tamat. Jadi bagi mengurangkan pembaziran tersebut, pelajar-pelajar saya telah mengambil bunting dan banner tersebut dan dijadikan beg serbaguna.

“Selain daripada bunting dan banner, barang-barang lain yang boleh dikitar semula akan digunakan kembali. Idea ini kami akan kongsikan dengan persatuan ibu-ibu tunggal supaya mereka dapat menjana pendapatan melalui penghasilan produk-produk kitar semula,” katanya selepas majlis Cabaran Idea UKM di sini baru-baru ini.

Katanya beliau menggunaan tema kitar semula kerana UKM sekarang ini sedang menuju ke arah kampus hijau.

Beliau berkata idea yang beliau ketengahkan tersebut akan memberi faedah kepada UKM seperti melonjakkan Pusat Citra kerana Pusat Citra adalah pusat untuk memahirkan pelajar dalam kemahiran insaniah dan menjadikannya lebih inovatif.

“Selain itu, kita juga mahu melonjakkan UKM sebagai universiti komuniti. Walaupun kita adalah university penyelidikan, tetapi kita perlu dekat dengan komuniti.

“Dengan kemenangan ini, saya rasa saya telah menyumbang ke arah itu,” katanya.

Sementara itu, pelajar tahun satu FSK, Siti Masturah Zahari berkata idea untuk menghasilkan inovasi bertajuk Sisa Makanan Menjana Keuntungan adalah idea asal mentornya iaitu Prof Madya Dr Chan Kok Meng.

Inovasi ini adalah penggunaan semula sisa makanan untuk dijadikan baja kompos.

“Idea ini dipilih kerana ia mudah untuk dijalankan dan dapat menjana keuntungan kepada UKM. Jadi, kita lihat ini adalah kebaikan untuk semua pihak.

“Kelebihan inovasi ini adalah apabila ia dihasilkan, pihak universiti tidak perlu lagi membeli baja kerana kita sendiri dah hasilkan baja yang boleh digunakan untuk landskap UKM. Jadi dalam masa yang sama kita boleh kembangkan projek ini dan hasilkan lebih banyak baja dan secara tidak langsung kita dapat menjana semula pendapatan untuk UKM,” katanya.

Mentornya berkata mereka akan menggunakan geran berjumlah RM3,000 yang dimenangi itu bagi menghasilkan projek kecil di Kampus Kesihatan di Kuala Lumpur.

“Jadi kita akan mulakannya di Kampus Kesihatan dulu. Apabila menampakkan kejayaan, kami akan menjadi contoh di UKM Bangi dan kami akan memohon geran lain untuk melaksanakan projek yang sama di Kampus Bangi,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dr Imran Ho Abdullah yang turut merasmikan majlis tersebut.ukmnewsportal-bm

2

3

4

5

6