Pelajar Hong Kong dan Mexico Teroka Budaya Malaysia


Oleh Alyani Azhar
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 6 September 2017- Program UKM Global Mobility Partnership 2017 (UKM-GMP)  memberi pendedahan kepada pelajar Hong Kong dan Mexico kepada kepelbagaian budaya dan memberikan mereka peluang untuk menikmati keindahan persekitaran tropika di Malaysia.

Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof Dato ‘Ir Dr Riza Atiq Abdullah O.K. Rahmat berkata UKM-GMP 2017 menganjurkan dua program iaitu Sustainability of Tropical Heritage (STH) dan Indigenous Community of Malaysia (ICM).

“Program interaktif memastikan peserta dilengkapi dengan teori dan pengetahuan sebelum lawatan ilmiah dan kerja lapangan,” katanya semasa Majlis Perasmian Penutup UKM-GMP ke-9 2017.

Peserta yang mebngikuti program STH telah dibawa menjelajah Pulau Langkawi dan Bukit Fraser.

Katanya, Langkawi telah dianugerahkan status Geopark oleh UNESCO melalui usaha pemuliharaan dan penyelidikan UKM.

“Saya yakin mereka (peserta STH) berpeluang melihat dengan lebih dekat usaha UKM dalam pemuliharaan dan pembangunan mampan di Langkawi,” tambahnya.

Sementara itu, peserta ICM pula telah didedahkan dengan kehidupan orang asli di Selangor, Perak, Bukit Kepong, Port Dickson dan Pahang.

Pengarah Pusat Hubungan Antarabangsa (UKM-Global), Prof Madya Dr Yazrina Yahya berkata program itu bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar antarabangsa mempelajari budaya dan alam sekitar Malaysia.

“Saya berharap kita akan menerima lebih banyak pelajar antarabangsa bukan sahaja dari Mexico dan Hong Kong, tetapi dari Australia dan Eropah pada tahun depan,” katanya.