Pelajar Johor Dan Melaka UKM Tabur Bakti Di Kluang

01
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 1 feb 2016 – Persatuan Mahasiswa Anak Johor (PERMAJ) dan Persatuan Mahasiswa Anak Melaka (PESAMA) Univeristi Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalinkan kerjasama dengan mengadakan Program Kembara Khidmat Muafakat Selatan (KESELATAN) 2016 yang diadakan pada 16 hingga 20 Januari lepas di Felda Bukit Tongkat, Kluang, Johor.

Program yang telah menghimpunkan seramai 130 mahasiswa dari kedua-dua persatuan anak negeri itu bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk memberi lebih perhatian terhadap khidmat masyarakat dan sumbangan komuniti intelek UKM kepada masyarakat tempatan.

Menurut Timbalan Presiden PERMAS, Anis Syafiqah Sahdon, untuk program Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) kali ini, PERMAS dan PESAMA bergabung bagi memberi pendedahan kepada PESAMA mengendalikan program khidmat masyarakat bersama-sama.

“Memandangkan PESAMA sudah lama tidak menjalankan program OPKIM, jadi kami merancang untuk mengadakan program ini bersama-sama bagi memberi peluang kepada PESAMA untuk mempelajari cara-cara pengendalian program komuniti di luar kampus dari mula sehingga program itu selesai,” katanya kepada Portal Berita UKM.

Beliau berkata gabungan kedua-dua persatuan anak negeri itu telah membawa mereka mengadakan program KESELATAN dengan melibatkan 30 keluarga Felda Bukit Tongkat melalui program penyerahan anak angkat.

Katanya mereka memilih Felda sebagai lokasi program kerana untuk program-program OPKIM sebelum ini, kebanyakan kawasan yang dipilih adalah kawasan perkampungan.

“Ini merupakan kali pertama kami mengadakan program di Felda dan ia merupakan pilihan yang tepat kerana Felda mempunyai kemudahan yang lengkap dalam mengadakan aktiviti.

“Penduduk Felda juga memberi kerjasama yang erat sepanjang kami berkampung di sana,” katanya.

Beliau berkata aktiviti utama yang dijalankan adalah Karnival Islam Hadhari iaitu sambutan Maulidur Rasul bersama masyarakat Felda Bukit Tongkat.

“Kami telah mengadakan pertandingan memasak bersama penduduk Felda, majlis tadarus dan khatam Al-Quran, qasidah dan forum agama,” ujarnya.

Katanya program itu dilihat mampu merapatkan lagi ukhwah masyarakat tempatan dengan komuniti siswa yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan budaya yang datang dari seluruh pelosok tanah air.

“Melalui program ini saya berharap masyarakat dan mahasiswa dapat merintis hubungan yang lebih erat atas nama kekeluargaan dan khidmat masyarakat,” tambahnya.

 Majlis penutup program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Dato’ Wira Mohd Johari Baharum.ukmnewsportal-bm
02

03

04