Pelajar MBA UKM Hasilkan 600 Penghadang Muka untuk Petugas Barisan Hadapan


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

SELAYANG, 17 Julai 2020 – Pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) telah menghasilkan 600 penghadang muka (face shield) untuk kegunaan petugas barisan hadapan di Hospital Selayang, Selangor dan Klinik Pergigian Kepala Batas, Pulau Pinang.

Daripada 600 penghadang muka yang dihasilkan, 300 diserahkan kepada Hospital Selayang dan 300 lagi akan diserahkan kepada Klinik Pergigian Kepala Batas.

Penghasilan penghadang muka tersebut adalah inisiatif pelajar tahun akhir yang perlu melengkapkan silibus pengajian melalui projek khidmat masyarakat.

Wakil pelajar, Farzaana Haron berkata mereka terdiri daripada lapan orang pelajar dari kumpulan Life Care memilih untuk menghasilkan penghadang muka kerana mahu membantu petugas barisan hadapan yang pada ketika ini sangat memerlukan peralatan perlindungan diri (PPE) dalam mengekang penularan COVID-19.

“Tambahan pula ada petugas barisan hadapan membuat penghadang muka sendiri bagi menampung kekurangan stok yang ada,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan tempoh penghasilan penghadang muka itu adalah dalam perintah kawalan pergerakan (PKP), mereka telah menghasilkannya di rumah masing-masing berpandukan video yang telah disediakan oleh salah seorang ahli kumpulan.

“Kami berharap projek life care ini memberi impak berguna kepada masyarakat selain menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk melakukan aktiviti khidmat masyarakat kerana aktiviti tersebut tidak perlu dilakukan secara sepenuh masa, sebaliknya boleh dilakukan pada masa senggang.

“Kami juga berharap projek ini dapat mengurangkan beban pihak kerajaan, khususnya pihak hospital untuk membeli PPE di pasaran,” katanya.

Mengambil masa hampir tiga bulan iaitu bermula April lepas, pelajar-pelajar itu menghasilkan penghadang muka dengan menggunakan plastik A4, span, gam dan getah kain, dengan kos kira-kira RM1,000.