Pelajar Perlu Jadi Usahawan Walaupun Belajar Bidang Lain – Ahmad Maslan

Untitled-1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 6 April 2016 – Semua pelajar di Unversiti Kebangsaan Malaysia (UKM), digalakkan menjadi usahawan walaupun belajar dalam pelbagai bidang lain, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata pelajar perlu bercita-cita untuk menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya apabila keluar dari Menara Gading kerana terdapat banyak perluang keusahawanan yang ada di Malaysia.

“Banyak projek yang sedang dibangunkan di Kuala Lumpur yang akan memberi impak yang besar terhadap keusahawanan,” katanya semasa berucap  pada program keusahawanan Temasya Highlanders 2016 Kolej Ibrahim Yaakub di sini pada 26 Mac lalu.

Salah satu projek pembangunan yang dikatakan dapat memberikan impak besar kepada usahawan adalah Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur yang masih di peringkat pembinaan dan dijangka bakal menjadi pusat kewangan antarabangsa.

Sebelum itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Dato’ Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat berkata program Highlanders yang dianjurkan itu menunjukkan para pelajar  menyahut konsep menonjolkan diri dan mempamerkan ciri-ciri tersendiri yang hebat sebagai seorang mahasiswa.

Beliau menganggap ciri-ciri yang boleh mencabar keupayaan mahasiswa sangat diperlukan bagi memperkasakan kemahiran yang ada untuk digunakan pada program yang berimpak lebih besar pada masa akan datang.

Tambah beliau program tersebut  mampu mewujudkan satu perkongsian pintar antara pelajar-pelajar  dengan masyarakat serta rakan-rakan strategik yang lain.

ukmnewsportal-bm

3

4

2