Pelajar PhD UKM Harum Nama Negara di WSSET, Singapura

1
Oleh Nastura Nasir
Foto SERI

BANGI, 9 Ogos 2016 – Dua orang pelajar ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Farriz Basar dan Azher M. Abed telah mencipta sejarah dan mengukir nama selaku pemenang anugerah “1st World Society of Sustainable Energy Technologies (WSSET) Innovation Awards 2016” yang telah berlangsung di Singapura, baru-baru ini.

Mohd Farriz Basar, adalah pemenang anugerah bagi kategori sistem tenaga boleh diperbaharui (hidro) manakala Azher M. Abed adalah pemenang anugerah dalam kategori kecekapan tenaga (sistem penyejukan).

Lebih membanggakan, kedua-dua orang pelajar ini adalah antara lapan orang pemenang yang telah dipilih dari seluruh dunia untuk menerima anugerah yang berprestij ini.

“Saya bersyukur di atas penganugerahan ini dan turut gembira kerana berjaya mengharumkan nama UKM dan Malaysia,” kata Mohd Farriz sewaktu ditemui baru-baru ini.

Menurutnya lagi, anugerah ini juga akan memberikan cabaran dan semangat kepadanya untuk terus aktif menghasilkan inovasi yang dapat melindungi alam sekitar dan boleh digunapakai oleh masyarakat dan negara.

Kedua pelajar ini di selia oleh Prof Dato’ Dr Kamaruzzaman Sopian, Prof Dr Mohd Hafidz Ruslan dan Prof Dr Sohif Mat.

Prof. Dato’ Dr. Kamaruzzaman Sopian, yang juga adalah pengarah SERI, berkata, anugerah yang diraih oleh kedua-dua pelajar ini telah memberikan impak yang besar kepada institut dan universiti.

“Pengiktirafan ini juga membuktikan, hasil penyelidikan pelajar-pelajar di universiti tempatan juga setaraf dengan hasil penyelidikan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Tambahnya lagi, kejayaan mereka ini pastinya akan memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar yang lain untuk menjadi lebih cemerlang dan mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

Anugerah Inovasi WSSET yang julung-julung kali diadakan ini diadakan adalah bagi memberi pengiktirafan kepada penyelidik-penyelidik dari seluruh dunia yang aktif di dalam bidang teknologi hiijau dan berjaya menghasilkan penyelidikan, inovasi yang mempunyai nilai komersial, penerbitan yang berkualiti serta diiktiraf oleh komuniti dan dunia akademik.

Anugerah berprestij ini telah disampaikan oleh Presiden WSSET, Prof Dr. Saffa Riffat di dalam satu majlis makan malam yang telah diadakan Hotel Shangri-La’s Rasa Sentosa, Singapura pada 21 Julai 2016.ukmnewsportal-bm
2