Pelajar Sekolah Terengganu Persembahkan Dikir Barat Bahasa Arab

01Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

KUALA TERENGGANU, TERENGGANU, Jun 15 2015 – Acara Dikir Barat yang dipersembahkan para pelajar sekolah menengah dalam Bahasa Arab  di Terengganu merupakan di antara kemuncak Majls Penutupan dan Pengurniaan hadiah Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDMS) 2015 di sini hari ini.

Lebih 900 pelajar dari 56 sekolah menengah di Terengganu mengambil bahagian dalam dua acara yang bertujuan mencungkil bakat pelajar dalam Bahasa Arab di peringkat sekolah-sekolah agama, yang  dibahagikan kepada Kalam Jama’ie Bahasa Arab dan  kategori Dikir Bahasa Arab.

Anugerah dan hadiah-hadiah kepada para pemenang program tersebut dan Program pengukuhan Bahasa Inggeris yang dikelolakan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) disempurnakan pada majlis penutup ini oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut berangkat pada majlis penutupan dan pengurniaan hadiah Program Pengukuhan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Osman Muda dan Pengarah Pendidikan negeri Shafruddin Ali Hussin.

Program Pengukuhan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab merupakan acara penting yang dianjurkan YDSM dalam mencetus minat pelajar untuk meningkatkan penguasaan terhadap kedua-dua bahasa berkenaan.

Dalam kata-kata aluannya, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM  Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Rahman Embong berkata UKM melaksanakan program Bahasa Inggeris tersebut menerima sambutan di luar dugaan.

Menurut Prof Abdul Rahman, yang juga Felo Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM, program Bahasa Inggeris telah masuk tahun ke-enam dan jelas bahawa ia membawa kesan yang baik kepada sekolah di Terengganu.

Oleh itu, kata  Prof Abdul Rahman UKM akan melaksanakan program tambahan Bahasa Inggeris berunsurkan seni, kebudayaan, warisan serta sejarah negara khusus untuk pelajar sekolah menengah yang dinamakan ‘Your language, My Culture’, atau ‘Bahasa Anda, Budaya Saya.’

Menurut beliau kedua-dua pihak akan menjalin kerjasama untuk membantu Jabatan Pendidikan negeri menghasilkan bahan bacaan tambahan Bahasa Inggeris berunsurkan seni, kebudayaan, warisan serta sejarah negara khusus untuk pelajar sekolah menengah.

“Ketika ini draf pertama bagi buku tingkatan satu sudah disiapkan oleh kumpulan pengkaji UKM dan produk itu akan diuji terlebih dahulu di lima buah sekolah terpilih termasuk di Setiu dan Kemaman dalam masa terdekat.

“Kaedah pembelajaran masih menggunakan cara yang sama tetapi kelainannya apabila kandungan bahan bacaan Bahasa Inggeris itu diperkayakan dengan isi tempatan misalnya menampilkan kisah ‘Batu Belah Batu Bertangkup, Ulik Mayang mahupun Pak Pandir berbanding dongeng Cinderella dan sebagainya.

“Inisiatif ini secara tidak langsung dapat mendedahkan pelajar kepada seni budaya dan warisan negara di samping meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris anak negeri sebagai modal dalam mengejar arus kemajuan pada abad ke-21 ini,” kata Abdul Rahman.

02

03