Pelajar Terbaik STPM Kategori OKU Daftar di UKM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 4 September 2018 – Kecatatan bukan penghalang untuk pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 bagi kategori Orang Kurang Upaya (OKU) melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Abdul Hakim Abd Majid, 19, yang mengalami masalah pendengaran sejak lahir tidak menjadikan kecacatan itu sebagai halangan kepada beliau untuk menjadi seorang pendidik suatu masa kelak.

Beliau yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.85 dalam STPM tahun lepas memilih UKM sebagai universiti pilihan pertama bagi melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama.

“Selepas saya mengetahui bahawa UKM mempunyai bidang pendidikan khas, saya terus memilih UKM sebagai pilihan pertama.

“Hendak masuk (belajar) UKM adalah susah, perlu melalui beberapa step. Bila susah, orang akan usaha untuk buat yang terbaik, dan bagi saya pelajar-pelajar yang dapat ke UKM adalah pelajar-pelajar yang terpilih dan sememangnya saya datang  ke UKM ini untuk belajar. Jadi, inilah yang membuatkan saya memilih UKM,” katanya semasa sesi pendaftaran pelajar baharu di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, untuk menjadi seorang pendidik, seseorang itu perlu banyak bersabar terutamanya guru pendidikan khas kerana guru pendidikan khas perlu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dalam mengendalikan kanak-kanak istimewa.

“Jadi, ini adalah satu cabaran kepada saya dalam mendidik anak bangsa kelak. Walaupun saya mengalami masalah pendengaran, tetapi saya lebih cenderung untuk mendidik anak-anak yang mempunyai masalah autism,” katanya.

Sementara itu, ibu Abdul Hakim, Ani Fadzilah Mat Han bersyukur kerana anak keduanya itu diterima masuk ke UKM.

“Dia (Abdul Hakim) adalah seorang yang berdikari. Walaupun sebelum ini beliau bukanlah seorang pelajar cemerlang, tetapi semangatnya untuk belajar tidak pernah padam dan dia tidak menjadikan kecacatannya sebagai penghalang untuk dia berjaya.

“Saya berharap cita-citanya untuk menjadi seorang guru tercapai suatu hari nanti,” katanya.

Untuk sesi ini, UKM turut menerima tiga pasang kembar bagi melanjutkan pengajian di sini.

Mohammad Noriman Masri dan Mohammad Noramin Masri yang kedua-duanya ditawarkan di Fakulti Pengajian Islam menganggap kejayaan mereka menempatkan diri di UKM adalah sesuatu yang luar biasa.

“Kami bersyukur kerana pilihan pertama kami ke UKM diterima. Kejayaan ini akan menjadi motivasi kepada kami untuk terus bersaing secara sihat,” kata Mohammad Noriman.

Mohammad Noriman dan Mohammad Noramin kedua-duanya melanjutkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dengan Kepujian dalam bidang Al-Quran dan Al-Sunnah.