Pelajar UKM perlu bersifat luar biasa – Naib Canselor


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 12 September 2018 – Semua pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) perlu mempunyai keunikan dan sifat yang luar biasa, kata Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali.

Beliau berkata, menjadi warga UKM bererti setiap warganya memegang amanah yang besar kerana UKM ditubuhkan dengan harapan yang tinggi oleh rakyat Malaysia.

“Tiada ertinya kalau kita menjadi seorang pelajar cemerlang secara akademiknya, tetapi tiga tahun di sini (UKM) kita tidak pernah langsung menjengah masyarakat di luar sana selain  tidak langsung melihat kehidupan masyarakat lain di Malaysia.

Kita ada tanggungjawab. Hidup ini bukan untuk kita seorang sahaja. Hidup ini tidak bermakna kalau kita seorang sahaja yang berjaya,” katanya semasa Bicara Slot ‘UKM Menjuarai’ pada Majlis Ikrar Pelajar Baharu di Datarn Gemilang  baru-baru ini.

Beliau berkata, semua pelajar perlu mengambil peluang yang ada untuk menjadi pelajar yang hebat dan betul-betul berjaya, bukan hanya untuk diri sendiri tetapi untuk memanfaatkan orang lain.

“Di sini kita membentuk jiwa. Kalau anda keluar dari UKM, tetapi jiwanya tidak jiwa UKM, bererti anda gagal.

Kita membentuk minda, sikap, dan nilai..kita tanam ilmu dalam pelbagai bidang. Anda mendapat ilmu yang terbaik dari para sarjana UKM, tetapi ilmu dan kejayaan yang anda perolehi itu mestilah diukur dengan lebih luas, bukan hanya berjaya dalam akademik semata-mata,”tambah beliau.

Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali turut menekankan bahawa setiap warga UKM bertanggung jawab ke atas negara ini (Malaysia).

“Sebab itulah kita ini adalah pendaulat amanah negara yang mengilham harapan, mencipta masa depan dan menajadikan UKM sebagai luar biasa hebatnya.

“Ini (UKM) universiti keramat… ini universiti kebangsaan… universiti kebangsaan kita… Universiti Kebangsaan Malaysia. Ingat, universiti ini terbina dengan harapan dan aspirasi yang tinggi menggunung oleh rakyat Malaysia. Jangan sia-siakan harapan ini,” jelasnya.

Seramai lebih 4,107 pelajar baharu sesi akademik 2018-2019 telah mengangkat ikrar sebagai pelajar UKM.

Hadir sama, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Dekan-dekan fakulti, para pegawai kanan Universiti dan pengetua-pengetua kolej kediaman.