Pelajar UKM Peserta Terbaik di ASEAN Youth Camp 2018


Oleh Engku Shariful Azni
Foto N. Ravin Kumar

BANGI, 30 Mei 2018 – N. Ravin Kumar dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Kebangsaan malaysia (UKM telah memenangi Anugerah Peserta Terbaik Keseluruhan dan Peserta Terbaik Malaysia di ASEAN Youth Camp 2018 di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Beliau bersama rakannya, Khew Chung Yuen, tampil memberi idea bagi mengelakkan pencemaran sisa elektrik dengan mencipta satu bahan yang mampu menggantikan pemanas elektrik pada program tersebut.

Menceritakan tentang idea tersebut, Ravin Kumar menjelaskan bahawa pengendalian sisa elektrik yang kurang efisien mampu mencemarkan alam sekitar.

“Pelupusan alatan elektrik yang tidak bagus akan menyebabkan bahan-bahan kimia seperti merkuri, plumbum, kadmium dan sebagainya akan mengalir ke dalam tanah dan sungai serta seterusnya akan mencemarkan alam sekitar,” kata Ravin.

Sementara itu, Khew Chung Yuen berkata, isu pembuangan sisa toksik daripada perkakas elektrik kurang diberi pendedahan yang sewajarnya kepada masyarakat.

“Ramai orang tidak tahu bahawa kaedah pelupusan alatan elektrik melibatkan kos yang tinggi dan tidak mudah dikendalikan seperti kertas, plastik, kaca dan seumpamanya yang boleh dikitar semula.

“Jadi, kami mencipta satu mekanisme yang mampu bertindakbalas dengan air untuk menghasilkan haba tanpa menggunakan elektrik, sekaligus menangani masalah ini,” jelasnya.

Walaupun bahan yang mereka gunakan itu berkemungkinan sudah ada dalam pasaran, namun mereka nekad untuk memulakan tren ini bagi memberi kesedaran tentang pentingnya menjaga alam sekitar kepada masyarakat.

Mereka dan tiga pelajar daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) mewakili Malaysia membentangkan kertas kerja berkenaan cara menangani isu pemanasan global.

Pada tahun ini, ASEAN Youth Camp 2018 bertemakan ASEAN Youth Stepping Toward Enviromental Sustainability bagi memberi kesedaran kepada belia khususnya tentang kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar.

Selain daripada pembentangan kertas kerja, mereka juga dibawa melawat ke kawasan-kawasan yang mengamalkan konsep kitar semula dan penjagaan alam sekitar bagi memberi pendedahan tentang keperluan insiatif tersebut untuk memelihara kelestarian alam.

Kem tersebut juga disertai oleh sembilan negara ASEAN lain yang mana turut membentangkan idea dari negara masing-masing.