Pelajar Zon Utara dibenarkan Balik Kampung


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 28 April 2020 – Seramai 150 pelajar dari Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam dan Swasta di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya yang tinggal di kampus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah pulang ke kampung halaman masing-masing selepas kerajaan membenarkan pergerakan pelajar dari kawasan zon hijau secara berperingkat bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19.

Kumpulan pertama pelajar tersebut terdiri daripada 70 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan selebihnya dari lain-lain universiti.

Kesemua mereka pulang ke kampung halaman masing-masing di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis menaiki 10 buah bas UKM yang telah disanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Untuk fasa pertama yang berlepas semalam (27 April 2020), seramai 790 pelajar IPT di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya telah pulang ke 17 destinasi di tiga buah negeri di utara tanah air dengan menggunakan 50 buah bas yang telah disanitasi.

Daripada jumlah tersebut, 32 buah bas menuju ke Negeri Kedah, 13 buah bas ke Negeri Pulau Pinang dan lima buah bas lagi menuju ke Negeri Perlis.

Untuk fasa pertama ini, sebanyak sembilan pusat pelepasan iaitu UKM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Univeristi Teknologi MARA (Kampus Shah Alam), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia (Kampus Kuala Lumpur), Universiti Sains Islam Malaysia (Kampus Kuala Lumpur) dan Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Kepulangan kumpulan pelajar tersebut telah dilakukan dengan mengikut prosedur yang ditetapkan bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

Apabila mereka sampai ke distinasi, hanya seorang wakil keluarga sahaja yang menjemput pelajar di Ibu Pejabat Polis (IPD) atau Pejabat Daerah yang telah dikenalpasti. Bagi keluarga yang tidak dapat menjemput pelajar di lokasi ketibaan, urusan penghantaran pelajar akan diuruskan oleh agensi kerajaan yang terlibat.