Pembelajaran Dalam Talian Malaysia Bertaraf Global, Kata KPT

01
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 23 Feb 2015 – Sistem Massive Open Online Course (MOOC) yang disediakan oleh ahli akademik di Malaysia adalah bertaraf global dan digunakan diperingkat antarabangsa, kata Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prof Dato’ Dr Asma Ismail.

Beliau berkata MOOC yang dihasilkan itu telah diguna pakai oleh pelajar-pelajar di 20 Universiti Awam dan ia turut mendapat perhatian daripada pelajar-pelajar dari luar negara.

“Pelajar-pelajar di dunia turut berminat dengan MOOC yang kita hasilkan kerana ia sangat menarik. Jadi, tidak ada masalah kalau kita bukannya dari MIT, Harvard ataupun Stanford University, katanya selepas forum MOOC Learning: Tsunami of Higher Education di sini pada 19 Feb lalu.

Menurut beliau MOOC, kursus dalam talian yang terbuka kepada semua dari mana-mana sahaja, adalah cara terbaik untuk pelajar-pelajar sekarang yang celik digital dan ia satu lonjakan yang akan membawa Malaysia ke persada dunia.

Prof Asma turut menjadi ahli panel dalam forum tersebut yang disertai ahli panel lain seperti Prof Dr Richard Buckland (University of New South Wales, Australia), Adam Brimo (pengasas pengajian terbuka),  Prof Dato’ Dr Mohamed Amin Embi (Pengarah Pengajaran UKM), Dr Mushtak Al-Arabi (Universiti Taylor).

Katanya kementerian mendapat maklum balas yang baik daripada pelajar luar negara yang mahu lebih banyak MOOC dihasilkan dalam Bahasa Melayu bagi kursus seperti Kewangan Islam.

Menurut beliau kedua-dua ahli panel dari Australia iaitu Dr Buckland dan Adam Brimo menyatakan bahawa ramai yang ingin mempelajari MOOC dari Malaysia untuk mengenali dengan lebih dekat pemikiran Asean.

Katanya Prof Mushtak dari Taylor’s University turut menyatakan bahawa apabila beliau meletakkan MOOC itu di persada antarabangsa, rata-rata yang menghadiri MOOCnya adalah dari seluruh dunia.

Beliau turut memberitahu bahawa Malaysia adalah negara pertama yang memberi kredit kepada program MOOC.

Pelajar yang mengikuti MOOC boleh mendapatkan diploma atau ijazah dalam bidang masing-masing tanpa perlu ke kelas, dan siapa-siapa sahaja boleh belajar di mana-mana sahaja dengan adanya MOOC, tambah beliau.ukmnewsportal-bm
02

03

04