Pengamal Undang-Undang Nasihatkan Penguasaan Dalam Kedua-dua Bahasa Malaysia dan Inggeris

1
Oleh Engku Shariful Azni
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 7 Jun 2016 – Bakal peguam yang ingin menjadi penuambela perlu melatih menguasai kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris semasa perbicaraan moot di mahkamah.

Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman,  pemenang bagi Kategori B dalam Pertandingan Mahkamah Moot Negara 2016 menasihatkan pelajar undang-undang untuk mengamalkan kedua-dua bahasa dalam mahkamah tersebut.

Muhammad Amirull, graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), mengakui beberapa istilah dalam bahasa Melayu dan Inggeris telah dicampur adukkan semasa pertandingan tersebut pada 17 April, di UKM, di sini.

“Kami mempunyai masalah mencari istilah yang betul untuk digunakan semasa pertandingan kerana kita belajar dalam bahasa Inggeris, tidak dalam bahasa Melayu,” jelas beliau.

Tambah beliau, jika kita ingin memartabatkan bahasa Melayu, ia perlu dilakukan daripada peringkat sekolah lagi dan bukan bermula ketika di peringkat pendidikan tinggi sahaja.

 “Penerbitan makalah tentang undang-undang dan dunia kehakiman juga perlulah lebih banyak diterbitkan dalam bahasa Melayu kerana terdapat banyak makalah yang ditulis adalah dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Steven Thiru, Presiden Majlis Peguam Malaysia memuji usaha pihak UKM dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menganjurkan pertandingan moot ini dalam usaha untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang perundangan di Malaysia

“Jika seorang saksi itu ingin bertutur dalam bahasa Melayu atau Inggeris, bukan satu alasan jika peguam itu tak mahir dalm bahasa tersebut kerana peguam harus adil kepada saksi,” kata beliau ketika ucapan penutupan pertandingan tersebut.

Platform pertandingan disediakan untuk kedua-dua pelajar dan peguam  bertujuan memberi platform kepada mahasiswa dan peguam sendiri untuk meningkatkan daya kepeguaman dan keyakinan diri untuk berdepan dengan keadaan sebenar dalam dunia kehakiman.

“DBP menggunakan medium ini untuk menggalakkan generasi baru peguam untuk mengamalkan bahasa yang lebih Melayu di mahkamah dan menghasilkan peguam lebih berbakat untuk membantu masyarakat,” kata Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UKM.

Pertandingan ini terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori A yang melibatkan mahasiswa daripada pelbagai universiti, dan kategori B bagi pelatih peguam yang sedang menjalani chambering.

Antara universiti yang menyertai pertandingan ini adalah Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Institut Teknologi Malaysia (UiTM), Universiti Malaya (UM) dan UKM sendiri.ukmnewsportal-bm

2