Pengarah IPI Di Lantik Profesor Kelestarian Alam Sekitar Wan Fatimah Pertama


Oleh Nadia Sapuan
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 9 Mei 2017 –  Pengarah Institut Perubahan Iklim (IPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dato’ Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah terpilih sebagai penyandang pertama bagi jawatan Profesor Kelestarian Alam Sekitar Wan Fatimah yang ditaja oleh Dato’ Nik & Associates Sdn Bhd (DNA Sdn Bhd).

Penajaan jawatan Profesor Kelestarian Alam Sekitar Wan Fatimah adalah tajaan penuh bagi jawatan Profesor, yang pertama diperoleh oleh pihak UKM dengan sumbangan sebanyak RM 728 000 bagi tempoh dua tahun.

Sebagai penyandang jawatan tersebut, Prof Dato’ Dr Sharifah bertanggunjawab sebagai penasihat untuk Projek Rundingan Analisis Spatial Perubahan Garis Pantai.

“Projek tersebut penting kerana berpotensi untuk memberi kesan kepada masyarakat sekeliling.

“Oleh itu peranan saya sebagai penasihat dalam penyelidikan ini adalah untuk meminimumkan sebarang kesan yang mingkin timbul daripada projek tersebut.

Tambah beliau, suatu sistem kitar semula lumpur untuk projek tambak tanah, turut akan diperkenalkan melalui projek tersebut.

Beliau menambah, projek tersebut adalah projek pertama dijalankan di Malaysia dan itu memerlukan beliau untuk mengawal kualiti projek mengikut peraturan dan syarat yang ditetapkan sepanjang tempoh dua tahun.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Dr Ibrahim Saad berkata kerjasama antara universiti dengan pihak swasta dari aspek penyelidikan adalah penting kerana melalui penyelidikan tersebut, universiti dapat memperoleh dana dan menyumbang kepakaran untuk dimanfaatkan kepada negara.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek Untuk Penajaan Jawatan Profesor Kelestarian Alam Sekitar Wan Fatimah daripada DNA Sdn Bhd dan Projek Rundingan Analisis Spatial Perubahan Garis Pantai Menggunakan Imej Satelit di Seluruh Malaysia daripada Megaconsult Sdn Bhd, baru-baru ini.

Hadir sama ialah Pengarah Urusan DNA Sdn Bhd, Dato’ Ir Dr Nik Mohd Kamel Nik Hassan dan Pro Naib Canselor Strategi dan Pembangunan Korporat, Prof Dato’ Ir Dr Mohd Marzuki Mustaffa.