Penggunaan Cahaya UV Mampu Membunuh Kuman

Oleh Aini Hidayah Abdul Hadi

BANGI, 26 Jun 2020 – Penggunaan cahaya Ultra Ungu (UV) dalam membunuh kuman adalah salah satu kaedah yang boleh digunakan untuk membunuh bakteria dan kuman.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Ir Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman berkata, cahaya boleh membunuh kuman melalui sistem disinfeksi Ultra Ungu (UV).

“Teknologi UV sebagai disinfektan bakteria telah wujud selama lebih daripada 50 tahun dan keberkesanannya telah didokumenkan secara kajian saintifik dan digunakan secara komersial.

“Disinfektan UV digunakan dalam penulinan udara dan air, rawatan kumbahan, pelindungan makanan dan minuman dan pelbagai aplikasi lain.

“Kelebihan menggunakan kaedah disinfektan UV ini ialah ia lebih selamat, mudah dan cepat untuk pembasmian kuman, malah kaedah ini juga lebih menjimatkan kos dan ruang serta mempunyai tahap penyahjangkitan yang lebih tinggi berbanding dengan kaedah alternatif,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengarah Pusat Perhubungan Alumni berkata, COVID-19 amat berbahaya kepada manusia sama seperti sinaran UV, namun begitu, sekiranya kedua-dua elemen itu bertemu kemungkinan manusia akan mendapat manfaat disebaliknya.

“Pertemuan baharu dalam penyelidikan disinfektan cahaya adalah mengenai satu jalur UV dalam kumpulan C iaitu UV-C yang boleh membunuh bakteria dan virus tetapi ia tidak merbahaya kepada kulit manusia,” jelas beliau.

Kajian yang dijalankan oleh Saintis Pusat Penyelidik Radiologi, Pusat Perubatan Universiti Columbia, di mana mereka menjalankan ujian sistem UV pada virus influenza H1N1 dengan dos yang rendah dan telah berjaya mengnyahaktifkan virus tersebut melebihi 95 peratus.

“Ini satu perkembangan positif yang kita nantikan untuk ujian yang sama dilakukan terhadap virus corona yang baru ini yang menjadi punca kepada COVID-19 ini,” katanya.