Pengurusan Tertinggi UKM Lawat Staf dan Pelajar di Kampus


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 20 Mac 2020 – Walaupun Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac 2020, tetapi sebagai sebuah Universiti Penyelidikan, UKM tetap perlu menjaga bahan-bahan eksperimen terutamanya yang melibatkan kultur di makmal-makmal penyelidikan.

Justeru, atas keprihatinan tersebut, barisan tertinggi UKM yang diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor, Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Pelajar, Prof. Dato’ Ir. Dr. Othman A. Karim dan Pendaftar, Dr. Ina Md. Yasin melakukan lawatan ke Pusat Sistematik Serangga untuk melihat operasi pusat penyelidikan tersebut dalam memastikan spesimen yang digunakan berada dalam keadaan baik dan penyelidikan tidak rosak.

Selain itu, Naib Canselor turut melawat Pusat Kesihatan Universiti, Kolej Pendeta Za’ba dan Kolej Ibu Zain bagi memberi sokongan dan memastikan staf dan pelajar yang berada di kampus mengikuti langkah-langkan penjagaan diri bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Dalam lawatan tersebut, Naib Canselor turut bertemu pelajar yang tidak pulang ke kampung dan menyampaikan makanan percuma kepada mereka. Sebelum melakukan lawatan, barisan tertinggi turut disaring di pintu masuk utama UKM.

Koperasi UKM iaitu UNIKEB turut memberi sumbangan air mineral kepada staf yang perlu bekerja termasuk staf di Kampus Kuala Lumpur.