Penyelidik Muda UKM Menang Anugerah Usahawan Inovator Baharu


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi           

BANGI, 16 Disember 2016 – Penyelidik muda Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohamad Hanif Md Saad, telah memenangi Anugerah Usahawan Inovator Baharu Tahun Pengkomersialan Malaysia 2016 yang diadakan di KLCC, baru-baru ini.

Pertandingan tersebut telah menyaksikan UKM sebagai satu-satunya universiti yang berjaya memenangi anugerah dan telah mengalahkan 40 universiti lain yang telah disenarai pendek.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Mohamad Hanif, Pensyarah Kanan di Jabatan Kejuruteraan Mekanik dan Bahan, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) berkata, produk yang dihasilkan adalah CAISER iaitu alat yang digunakan untuk membangunkan sistem bagi mewujudkan pemprosesan acara kompleks berasaskan sistem pintar.

“Pada mulanya penyelidikan yang saya jalankan bersama Prof. Dr. Aini Hussain adalah untuk menghasilkan sistem pengawasan seperti CCTV.

“Tetapi kami ingin menambah baik ciri-ciri pengawasan dengan membangunkan suatu sistem yang praktikal dan berupaya untuk mengesan kes jenayah atau kebakaran sebelum ia terjadi.

“Hal ini, kami dapati, boleh dilakukan dengan menambah penggunaan alat pengesan (sensor) lain seperti asap, dalam sistem pengawasan,” terang Mohamad Hanif.

Beliau berkata daripada sistem pengawasan, penyelidikannya telah berkembang dan kini meliputi bidang predicted analytic.

Predicted analytic sepatutnya dilakukan oleh penyelidik sains komputer tetapi apabila kita buat predicted analytic  berasaskan persekitaran, kita perlukan sensor kejuruteraan.

“Jadi kita boleh gunakan untuk mengesan peristiwa yang mungkin berlaku melalui system seperti kereta rosak, rumah terbakar, sistem komputer yang diceroboh dan lain-lain,” jelasya.

Beliau berkata dengan penyelidikan CAISER yang telah memenangi anugerah itu, pasukan penyelidik beliau boleh menghasilkan pelbagai aplikasi pintar.

“Daripada CAISER, kita boleh menghasilkan sistem rumah pintar, sistem pemantauan rangkaian pintar dan smart city yang bukan sahaja boleh digunakan di rumah, tetapi juga oleh industri dan komuniti,” terangnya.

Beliau turut memberitahu bahawa, produk ciptaannya, CAISER, adalah produk aplikasi kejuruteraan sedemikian rupa, yang pertama di Malaysia.

“Banyak syarikat yang menyuarakan keingininan untuk membeli pelantar CAISER tetapi saya berpendapat ini bukan waktu yang sesuai kerana masih banyak perkara yang hendak dilakukan untuk memantapkan lagi produk ini,” katanya.

Dengan kemenangan itu, pasukan penyelidik Mohamad Hanif dan Prof. Dr. Aini telah menerima RM100,000, piala dan sijil.