Penyelidik SUTRA FKAB Terima RM826,500 untuk Kajian iG-R&R


Oleh Dr. Muhamad Azry Khoiry
Foto Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina

BANGI, 5 Oktober 2018 – Pusat Penyelidikan Bandar Pintar dan Lestari (SUTRA), Fakulti Kejuteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima geran penyelidikan sebanyak RM826,500 daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk menjalankan kajian iG-R&R Transformasi Rehat & Rawat Lestari.

Penyelidikan selama dua tahun diketuai oleh Dr Muhamad Azry Khoiry dan disertai oleh 20 orang penyelidik berpengalaman dari SUTRA yang telah menjalankan pelbagai penyelidikan kelestarian dalam dan luar UKM.

Enam komponen kelestarian yang akan dikenalpasti untuk dilaksanakan di kawasan rehat dan rawat ialah pengurusan sisa, kompos, biogas, tuaian air hujan, bahan binaan lestari dan bumbung hijau.

iG-R&R Transformasi Rehat & Rawat Lestari akan menggabungkan keenam-enam elemen itu bagi menghasilkan garis panduan kelestarian yang holistik untuk di laksanakan di kawasan Rehat dan Rawat di sepanjang lebuhraya di Malaysia.

Ia akan dapat mengurangkan penghasilan karbon dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, disamping pelengkap kepada amalan kelestarian yang disarankan oleh pihak kerajaan.

Bagi melancarkan penyelidikan ini, Memorandum Perjanjian penyelidikan telah ditandatangani antara UKM yang diwakili oleh Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali dan LLM diwakili oleh Ketua Pengarah LLM, Dato’ Sr Aziz Abdullah.

SUTRA adalah pusat penyelidikan di FKAB yang menjalankan penyelidikan berimpak berkaitan dengan bandar pintar dan lestari dan menjalankan pelbagai kolaborasi penyelidikan dengan industri dari dalam dan luar negara.

SUTRA  diketuai oleh Prof Dato’ Ir Dr. Wan Hamidon Wan Badaruzzaman dianggotai oleh pensyarah dari Program Kejuruteraan Awam, yang merupakan program Pengajian Kejuruteraan Awam dan Struktur yang berkedudukan 100 terbaik di dunia.