Penyelidik UKM Cipta Perisian Lakar Bentuk Baju Melayu Wanita

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 23 Februari 2015 – Seorang penyelidik dan pakar pereka pakaian asli Melayu di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mencipta sebuah perisian komputer untuk melakar pola baju tradisional wanita Melayu yang jauh lebih pantas daripada cara biasa.

Perisian komputer hasil ciptaan suatu pasukan diketuai Prof Madya Dr Haziyah Hussin itu dilancarkan di sini hari ini oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Prof Ir Dato’ Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat.

Prototaip perisian tersebut yang dinamakan ‘Hazi Attire’, mengambil masa tiga tahun untuk dibangunkan dan boleh menjana pola baju Melayu dalam masa 5 saat sahaja bergantung kepada kelajuan pencetak komputer berbanding 4 hingga 5 jam atau lebih oleh seorang tukang jahit.

Dr Haziyah, Felo Penyelidik Kanan ATMA dalam bidang Pakaian dan Tekstil berkata perisian Hazi Attire yang dibangunkan menggunakan BusanaCAD enjin telah memfailkan paten hak cipta dengan perbadanan harta intelek Malaysia semenjak pada tahun 2012.

Pengguna boleh melayari laman sesawang khas untuk mencatat maklumat mengenai ukuran badan mereka secara dalam talian yang boleh digunakan untuk melakar pola baju dalam perisian berasaskan rekabentuk dengan bantuan komputer atau computer aided design (CAD).

Katanya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pengajian Tinggi dan juga UKM memberi geran keseluruhan sebanyak RM 400,000 untuk membangunkan protokol reka bentuk pakaian wanita Melayu.  Mengikut beliau lagi, melalui penyelidikan ini  perisian menghasilkan pola baju pakaian ini dibangunkan menggunakan geran Sciencefund dan seterusnya di bawah geran PRGS (geran prototype) dan INOVASI UKM.

Dr Haziyah berkata terdapat 16 reka bentuk baju Melayu wanita yang mampu dilakar oleh ‘Hazi Attire’.

Bagaimanapun, projek itu boleh dikomersilkan dengan rakan niaga yang berminat.

“Saya tidak berhajat menjadi tukang jahit. Itu boleh dilakukan syarikat yang ingin mengkomersilkannya. Ia boleh memotong dan menjahit baju secara besar-besaran. Saya hanya lakar pola untuk baju,” tambah Dr Haziyah.

Pelanggan perlu mengukur badan mereka sendiri dan mengisi borang dalam talian. Kalau ada body scanner lagi senang dan ia boleh dilakukan dalam masa beberapa minit sahaja. Ini boleh dilakukan oleh sesebuah syarikat yang berminat kerana harga setengah juta ringgit terlalu tinggi bagi beliau.

Dr Haziyah mengaku setakat ini tiada pihak yang sanggup menjadi rakan kongsi dan beliau mengharapkan bantuan daripada Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

“Perlu ada seorang venture capitalist untuk merebut peluang ini. Sementara itu saya diminta menyediakan satu pelan perniagaan sebelum geran prototaip ini tamat pada bulan April 2015,” tambah beliau.

Beliau didorong untuk mencipta perisian ‘Hazi Attire’ oleh keanggunan pelbagai jenis pakaian asli wanita Melayu yang beliau khuatir akan pupus kerana kurang kepakaran pada masa ini.

Turut hadir di upacara pelancaran tersebut Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Prof Ulung Dato’ Dr Shamsul Amri Baharuddin dan Pengarah ATMA Prof Dr Nor Hashimah Jalaluddin.

Dr Haziyah adalah seorang pakar pakaian dan tekstil. Beliau menerima PhDnya daripada Universiti Putra Malaysia, Sarjana daripada North Texas State University di Denton, Sarjana Muda Seni Halus, Moore College of Art Philadelphia dan Sarjana Muda di Universiti Teknologi Mara (UiTM).